suria

Dr Ling Seorang Yang Jujur - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Tun Dr Ling Liong Sik yang dikenalinya selama 30 tahun adalah seorang yang jujur.

Dr Mahathir, 87, berkata bekas Menteri Pengangkutan itu juga melakukan tugas dengan baik terutama dalam membangunkan Pelabuhan Klang.

Beliau yang menjadi saksi keempat pembelaan pada perbicaraan membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berkata demikian ketika disoal peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling mengenai pendapat peribadinya terhadap Dr Ling.

Sebelum soalan tersebut dikemukakan, suasana prosiding agak tegang apabila Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah membuat bantahan terhadap soalan Wong sama ada Ling 'mampu menipu'.

Tun Abdul Majid dengan nada suara yang kuat berkata "siapa tahu dia (Dr Ling) mampu atau tidak tetapi beliau (Dr Ling) tahu" sambil menunjuk ke arah Dr Ling yang berada di dalam kandang tertuduh.

Bantahan Tun Abdul Majid itu mengejutkan orang ramai yang berada di dalam mahkamah dan ada di antaranya mula bersuara dengan kuat hingga Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memberi isyarat supaya mereka diam.

Sementara itu, di awal prosiding Dr Mahathir ditunjukkan dua nota ringkasan bertarikh 29 Okt 2002 berhubung pengambilan balik tanah di Pulau Indah dan Dr Mahathir menyatakan bahawa tiada seorangpun daripada pegawai Kementerian Kewangan membuat aduan terdapat kesilapan dan mengelirukan dalam dokumen tersebut.

Beliau berkata pada kebiasaannya beliau akan berbincang dengan para pegawai sebelum mesyuarat kabinet.

Ditanya sama ada beliau pernah membuat laporan polis berhubung dua nota tersebut (terdapat penipuan fakta), Dr Mahathir berkata: "Tidak."

Tambahnya, menteri kabinet juga tidak membuat sebarang aduan bahawa mereka ditipu dan dikelirukan menerusi dokumen tersebut.

Dr Mahathir juga berkata berdasarkan dokumen itu juga Penasihat Khas beliau Tan Sri Ali Abu Hassan membuat kajian dan menyatakan bahawa projek PKFZ adalah berdaya maju, bersetuju supaya tanah diperoleh mengikut terma-terma yang di antaranya berdasarkan kaedah 'sedia membeli dan sedia menjual', harga tanah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) dan tempoh bayaran balik tertangguh selama 15 tahun.

Katanya, pada kebiasaan Ali akan membuat laporan kepadanya mengenai cadangan sesuatu projek tetapi beliau tidak ingat sama ada Ali pernah membuat sebarang aduan terdapat kesilapan di dalam projek PKFZ ataupun tidak.

Sepertimana dalam prosiding semalam, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa pada 2 Oktober 2002 kabinet memutuskan kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 skp dan kaedah pembayaran balik berdasarkan 'bayaran tertunda' selama 15 tahun.

Beliau juga menyatakan kadar RM25 skp itu adalah tidak termasuk faedah kerana ia adalah harga bagi kaedah pembayaran tunai.

Katanya, jumlah keseluruhan pembelian tanah sebanyak RM1.088 juta juga adalah tidak termasuk faedah.

Dr Mahathir berkata sepanjang membincangkan projek itu tiada seorangpun daripada menteri kabinet membuat aduan bahawa harga tersebut adalah terlalu tinggi dan keputusan yang dicapai dalam kabinet adalah 'secara kolektif dan sebulat suara'.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp (sekaki persegi) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas Menteri Pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986 itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Hakim Ahmadi menetapkan esok untuk menyambung keterangan Dr Mahathir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain