suria

Suami Isteri Didakwa Sebabkan Kecederaan Parah, Eksploitasi Pembantu Rumah

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan memperdagang pembantu rumah mereka, antara Julai dan September lepas.

Mohd Shukur Suradi, 28, dan isterinya Daeng Norulasyikin Bachok, 27, didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 21, yang memiliki pasport bernombor A 1889641 dengan menggunakan pisau, kayu golf, penyangkut baju, tali pinggang, air panas, minyak panas, senduk panas serta sudu panas.

Mohd Shukur yang merupakan penjual kereta manakala Daeng Norulasyikin, guru di sebuah sekolah rendah didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D Utama, Perling, di sini, antara Julai dan 23 September lepas.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kesalahan memperdagang Marsini bagi maksud eksploitasi dengan cara memaksa bekerja sebagai pembantu rumah itu pula didakwa dilakukan pada kira-kira pukul 12 tengah hari, di alamat yang sama, 23 September lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamri Bakar membenarkan pasangan suami isteri yang memiliki seorang anak berumur sembilan bulan itu diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan itu, namun, penjamin masing-masing hendaklah orang yang berlainan.

Mahkamah turut memutuskan 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chuah Shyue Chien, Jasmee Hameeza Jaafar dan Norashikin Ibrahim manakala peguam Noordin Hussin mewakili Mohd Shukur dan peguam Wan Azmir Wan Majid mewakili Daeng Norulasyikin. - BERNAMA

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain