suria

PRU-13: Gerakan Tumpu Empat Kawasan Parlimen

KUALA LUMPUR: Gerakan bakal menumpukan perhatian kepada empat kawasan Parlimen yang dilihat mempunyai peluang untuk menang, termasuk mempertahan kerusi Simpang Renggam di Johor, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata selain Simpang Renggam, fokus akan diberi kepada kerusi Taiping, Beruas dan Teluk Intan.

"Kita kena pastikan dapat kekalkan kerusi itu (Simpang Renggam), dan untuk itu, kita kena bekerja keras. Kini kita bersiap sedia untuk Taiping. Sememangnya kerusi Taiping akan menjadi fokus," katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-41, Ahad.

Kerusi Taiping, yang secara tradisional diperuntuk kepada Gerakan, telah diberi kepada Parti Progresif Penduduk (PPP) pada PRU lepas, manakala calon Gerakan iaitu Datuk Tan Lian Hoe bertanding di Gerik, yang sebelum ini diperuntuk kepada Umno.

Bagaimanapun, Presiden PPP Datuk M.Kayvaes yang bertanding di Taiping tewas pada 2008 manakala Tan berjaya mempertahan kerusi Gerik untuk Barisan Nasional (BN).

Koh berkata kerusi Taiping akan dikembalikan kepada Gerakan, dan sejak beberapa tahun lepas, Tan yang juga Ketua Wanita Gerakan, sudah bergerak aktif bagi mendapat keyakinan serta sokongan pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata parti itu juga mengatur strategi untuk menawan semula kerusi Beruas dan Teluk Intan, selain tiga hingga empat kawasan lain yang enggan didedahkan.

Pada PRU lepas, Beruas dimenangi Datuk Ngeh Koo Ham dari DAP selepas menewaskan calon BN Datuk Chang Ko Youn dari Gerakan dengan majoriti 1,828 undi manakala kerusi Teluk Intan dimenangi M.Manogaran, juga dari DAP, setelah mengalahkan calon Gerakan Datuk Mah Siew Keong dengan 1,470 undi.

Pada PRU-12, Gerakan merekod prestasi paling buruk apabila tewas semua kerusi di Pulau Pinang, yang merupakan pangkalan parti itu, selain menang dua daripada 10 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya, Koh menekankan sekali lagi bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRU akan datang.

Koh berkata Gerakan kini dalam proses peremajaan dan kepimpinan parti sedia membuka peluang kepada generasi muda untuk mengambil alih.

Bagaimanapun, beliau berkata golongan itu harus bekerja kuat untuk membuktikan keikhlasan mereka sebelum dipilih memegang sebarang jawatan dalam parti, atau menjadi calon pilihan raya.

"Kita mesti bekerja terlebih dahulu sebelum diberi peluang. Jangan datang kepada saya dan berkata 'Berikan jawatan itu kepada saya sebelum saya bekerja'," katanya sambil menambah beliau akan membuat penilaian terakhir calon Gerakan pada PRU-13 tidak lama lagi.

Pada sesi penggulungan, Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong mencadangkan agar kerajaan menggubal undang-undang yang menetapkan PRU akan datang hanya boleh diadakan selepas tamat tempoh mandat.

Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe pula mengulangi gesaan supaya pemimpin parti di setiap peringkat, yang sudah hilang kewibawaan, memberi peluang kepada generasi muda.

Sentimen itu dikongsi Ketua Pemuda Gerakan Datuk Lim Si Pin, yang mahu pucuk pimpinan parti memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut.

Setiausaha Agung parti Teng Chang Yeow pula menekankan bahawa musuh yang perlu dihadapi sekarang ialah pembangkang, dan anggota Gerakan perlu berusaha habis-habisan untuk mengalahkan mereka.

Sementara itu, pelbagai isu berhubung kepentingan rakyat dibangkitkan pada sesi perbahasan yang berlangsung hari ini, termasuk air di Selangor dan usaha mempertingkat kepercayaan rakyat kepada BN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain