suria

Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Pegawai TUDM Yang Dipaksa Bersara Awal

PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang dipaksa bersara awal empat tahun lepas, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk dikembalikan ke jawatan itu.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara menolak rayuan Mejar Fadzil Arshad selepas memutuskan mahkamah tidak mempunyai alasan untuk campur tangan.

Dalam penghakimannya, Hakim Malanjum berkata isu perundangan yang dibangkitkan peguam Leftenan Komander (B) Zalil Mohd Mess, yang mewakili Fadzil, telah diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Abdul Salam Husin melawan Majlis Angkatan Tentera dan satu lagi.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, dalam melaksanakan kuasa bicara yang diperuntuk di bawah peraturan 20(2) Peraturan Angkatan tetap (Pencen, Ganjaran dan lain-lain Faedah) 1982 untuk membersarakan Fadzil kerana ketidakcekapan atau lain-lain yang tidak terjumlah kepada suatu salah laku, tidak perlu mengambil kira fakta berkaitan sebelum membuat keputusan itu.

Bagaimanapun, panel yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Mohd Yusoff, Datuk Hasan Lah, Datuk Sulong Matjeraie dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, tidak memerintahkan Fadzil untuk membayar kos selepas Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bersetuju untuk mengetepikannya. Fadzil, 50, memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan membersarakannya dan menamakan Majlis Angkatan Tentera serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Fadzil mendakwa Panglima Tentera Udara memaklumkan bahawa Lembaga Siasatan memutuskan beliau bertanggungjawab terhadap kecuaian yang berlaku dalam pengurusan dan pembelian peralatan ketenteraan seperti Andros Robot serta Bomb Suit.

Beliau mengemukakan rayuan namun ditolak atas alasan persaraan dan pembatalan tauliahnya telahpun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 5 November 2009, Mahkamah Tinggi membenarkan Fadzil memulakan semakan kehakiman berhubung perkara itu.

Pada 3 Ogos 2010, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Majlis Angkatan Tentera membersarakan Fadzil adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, mahkamah tersebut memerintahkan Fadzil dibayar gaji, manfaat, pelarasan dan imbuhan mulai 17 Julai 2008. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 29 Jun 2011, mengetepikan keputusan itu selepas membenarkan rayuan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan.

Mahkamah Persekutuan kemudian memberi kebenaran kepada Fadzil pada Februari lepas untuk mengemukakan rayuan.

Terdahulu, Zalil berhujah tidak ada fakta yang dikemukakan untuk dipertimbang oleh Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budi bicara baginda bagi membatalkan pentauliahan Fadzil.

Sementara itu, Suzana yang mewakili Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan berhujah kes Fadzil adalah serupa dengan kes Abdul Salam Husin melawan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan satu lagi, dan dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kakitangan angkatan tentera dikecualikan daripada hak untuk didengar sebelum pemecatan serta penurunan pangkat, dan pentauliahan dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara mutlak. -BERNAMA

Artikel Lain