suria

Dua Lelaki Maut Dalam Kemalangan Di George Town

GEORGE TOWN: Dua lelaki maut apabila kereta yang dinaiki terjunam di laluan bertingkat lebuh raya raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, A. Rames, 28, dan sepupunya J. Kavithiran Rajen, 19, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bukit Tengah, Seberang Perai selepas menghadiri majlis pertunangan seorang rakan di Air Itam.

"Kereta yang mereka dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan terjunam di laluan bertingkat itu dan kedua-duanya mati di tempat kejadian," katanya.

Difahamkan bomba terpaksa memotong sebahagian kereta yang remuk itu dan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Gan berkata, mayat kedua-dua lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa saudara, kedua-dua mangsa yang hanya dikenali M. Raghu berkata, kejadian itu sangat mengejutkan kerana beliau kehilangan dua anak saudara dalam sekelip mata.

"Rames baru sahaja mendirikan rumah tangga tiga bulan lepas. Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan kejadian ini kepada isterinya dan sehingga kini dia menyangka suaminya belum pulang daripada majlis pertunangan itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain