suria

Amerika Mahu Tingkat Hubungan Ketenteraan Dengan Malaysia

JOHOR BAHARU: Angkatan Tentera Amerika ingin meningkatkan hubungan erat sedia ada dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui latihan dua hala.

Pemerintah Misi Sokongan Ke-19 Angkatan Tentera Amerika Brig Jen Michele G.Compton berkata pemimpin angkatan tentera Amerika dan Malaysia sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara.

"Hubungan kami memang erat dan dipertingkat dari semasa ke semasa sejak beberapa tahun lepas. Hubungan peribadi antara kami juga demikian dan ini dimanfaatkan untuk memupuk hubungan erat dengan ATM," kata pegawai itu yang berpangkalan di Hawaii kepada pemberita pada Selasa.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian latihan tentera bersama "Ex Keris Strike" di Kem Ulu Tiram di sini, yang dirasmikan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Razali Ahmad.

Compton berkata latihan 10 hari itu melibatkan gerakan markas pemerintah bantuan komputer di peringkat briged dan batalion serta program tindakan sivik perubatan.

Latihan ini, yang disertai 96 anggota tentera daripada pelbagai unit Angkatan Tentera Amerika dan 369 anggota tentera Malaysia juga akan julung kalinya melibatkan penggunaan peranti dikenali sebagai 'Counter-Improvise Explosive Device' (C-IED), kata beliau.

Sementara itu, Mohd Razali berkata hubungan antara angkatan tentera Malaysia dan Amerika ketika ini adalah kukuh.

"Program seperti 'Ex Keris Strike' boleh meingkatkan hubungan sedia ada ini dan memberi peluang kepada angkatan tentera kami mendapat latihan berharga. C-IED merupakan satu lagi bidang yang boleh dimanfaatkan oleh angkatan tentera kami," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain