BN Sabah Tidak Tergugat Yahya Lampong Sertai PKR - Musa Aman - Semasa | mStar

BN Sabah Tidak Tergugat Yahya Lampong Sertai PKR - Musa Aman

BEAUFORT: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di Sabah tidak terjejas berikutan tindakan bekas Timbalan Menteri persekutuan, Datuk Yahya Lampong dan tokoh korporat terkenal Tan Sri Ibrahim Menudin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Itu hak masing-masing. Kita akan terus kuat dan mantap serta bersatu padu. Apa yang penting kami akan menghadapi pilihan raya umum dengan semangat berkobar-kobar bagi memastikan kejayaan besar BN di Sabah dan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Beaufort di Dewan Pa Musa Beaufort, di sini Ahad.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata, demikian ketika diminta mengulas perkara itu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengumumkan Ibrahim dan Yahya masing-masing menyertai PKR di Labuan dan Dalit, Tuaran.

Pada pilihan raya umum lepas, BN hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 25 kerusi Parlimen dan hanya tewas di kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu.

Musa berkata, kerajaan BN akan terus membangunkan negeri ini demi kebaikan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa meminta rakyat Beaufort menyokong sesiapa sahaja calon yang dikemukakan pucuk pimpinan parti pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau wakil rakyat daripada parti pembangkang...apa gunanya. Banyak tempat yang diwakili pembangkang tidak dapat berbuat apa-apa sebab tiada peruntukan dan tidak boleh berjumpa Perdana Menteri.

"Kalau wakil rakyat BN, Perdana Menteri ialah Pengerusi BN dan Ketua Menteri, Pengerusi BN negeri...senang berbincang. Jadi ini penting kita pastikan wakil rakyat BN supaya pembangunan dapat diteruskan di seluruh Sabah," katanya.

Parlimen Beaufort kini disandang bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin yang baru-baru ini, menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang.

Musa berkata, pakatan pembangkang yang memerintah di empat buah negeri kini ketakutan kerajaan BN akan mengambil alih kuasa di negeri-negeri berkenaan.

"Sekarang mereka datang ke Sabah berlagak umpama mengajar itik berenang.

"Sebenarnya rekod pencapaian kerajaan BN di Sabah jauh lebih baik. Keadaan politik di tempat mereka kini terumbang-ambing dan kucar-kacir. Misalnya di Selangor...di sana sini ada masalah termasuk masalah air.

"Mereka juga menabur pelbagai janji yang tidak masuk akal. Saya sebagai Menteri Kewangan Negeri tahu Malaysia akan muflis jika semua diberi secara percuma. Ini satu pembohongan besar pembangkang...ini tidak betul," katanya.

Musa turut mempersoalkan: "Kalau semua diberikan percuma, mana untuk pembangunan? Sebagai contoh, di Sabah sahaja kerajaan negeri membayar emolumen atau gaji penjawat awam negeri sekitar RM700 juta setahun."

Beliau berharap rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang terdesak meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Catherine Jelita, Sederhana - Dayang Syasyalina

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain