Empat Perompak Berpakaian Serba Hitam Mati Ditembak - Semasa | mStar

Empat Perompak Berpakaian Serba Hitam Mati Ditembak

IPOH: Sekumpulan empat perompak berpakaian serba hitam dipercayai warganegara asing ditembak mati oleh sepasukan polis dalam satu kejadian di Taman Meru 2C, di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kumpulan itu dipercayai melakukan 15 kes rompakan di Ipoh dan daerah lain antaranya Kuala Kangar, Sungai Siput dan Taiping dengan memecah masuk rumah dengan mengumpil pintu jeriji besi atau tingkap ketika penghuni nyenyak tidur di awal pagi, kemudian mengikat atau mengurung mangsa sebelum melarikan diri.

"Pada 30 Ogos lepas, terdapat satu kejadian samun di kawasan perumahan Puncak Meru di sini yang melibatkan kerugian RM9,000 dan semalam satu lagi kes serupa berlaku di sebuah rumah syarikat, di kawasan perumahan Meru Valley Golf di sini yang melibatkan seorang pelatih dan sepasang suami isteri yang merupakan perunding perniagaan yang kesemua dari Jepun serta mengalami kerugian RM200,000," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata polis meningkatkan rondaan di awal pagi dan berdasarkan maklumat orang awam, pada 2 pagi tadi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Perak, mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback dengan nombor pendaftaran palsu WJD 473 dinaiki empat orang lelaki yang mencurigakan di kawasan Meru, Jelapang.

Apabila diarahkan berhenti, pemandu berkenaan memecut ke arah Taman Meru 2C dengan dua buah kereta polis mengejar kumpulan itu antara 20 dan 30 minit, katanya.

Bagaimanapun, katanya, kereta berkenaan terbabas ke sebuah lorong kecil di pinggir taman perumahan itu dan semasa pasukan polis menghampiri kenderaan terbabit, tiba-tiba pemandu dan penumpang di bahagian hadapan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Tembakan daripada penjenayah itu mengenai bahagian hadapan dan pintu kiri kenderaan polis dan pada masa yang sama, penumpang di bahagian belakang kereta itu juga keluar sambil memegang parang, katanya.

Mohd Shukri berkata polis membalas tembakan kumpulan itu bagi mempertahan diri dan dalam insiden itu keempat-empat lelaki terbabit mati ditembak.

Hasil pemeriksaan, polis mendapati kesemua penjenayah terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dianggarkan berumur antara 20 dan 30-an, katanya.

Beliau berkata polis menjumpai sepucuk revolver mengandungi empat kelongsong dan satu peluru hidup, sepucuk pistol tiada jenama bersama satu kelopak, tiga bilah parang, satu batang kuku kambing, satu pemotong, satu pemotong zink, tiga unit komputer riba, tiga unit kamera digital serta lima telefon bimbit.

Katanya polis juga menjumpai dua jam tangan, wang tunai berjumlah 569,000 Yen Jepun, wang tunai berjumlah 78,000 Rupiah Indonesia, wang tunai berjumlah RM285, dua loket jed dan dua buah gajet Em Word jenama Casio.

"Polis percaya kesemua barang yang dirampas adalah barang-barang yang telah disamun daripada rumah mangsa di kawasan Meru dan Jelapang. Polis juga sedang menyiasat identiti sebenar kesemua penjenayah dan penglibatan mereka dalam kes-kes samun yang telah berlaku sebelum ini," katanya.

Sementara itu, perunding perniagaan Shimizu Akira, 33, yang tiba di sini tujuh hari lepas bersama-sama isterinya Manami Shimizu, berkata beliau gembira polis hampir menyelesaikan kes yang menimpanya. "Ini bukti polis negara ini cekap di mana mereka turut menjumpai barang kami yang hilang," katanya dengan bantuan penterjemah.

Pelatih, Oya Shintaro, 20, dari Tokyo Institute of Technology berkata beliau tiba di sini pada 17 Ogos lepas bagi tujuan menjalani latihan amali selama tiga bulan di sebuah kilang di sini.

"Saya sangat menghargai usaha pihak polis di sini yang mengambil tindakan segera berhubung kes-kes seperti itu," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Eksekutif Syarikat Bebas Tuduhan Langgar Polis

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain