suria

Kerajaan Gesa Ketepikan Duti Setem Bagi Pembeli Rumah Pertama

PETALING JAYA: Kerajaan boleh melaksanakan langkah-langkah fiskal seperti mengenepikan duti setem untuk skim rumah pertama dan cukai pendapatan tertentu untuk para pemaju dari portfolio itu, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif, Malaysia Building Society Bhd (MBSB), Datuk Ahmad Zaini Othman.

"Pembeli rumah kali pertama adalah satu bidang penting, dan kerajaan seharusnya melihat bagaimana untuk menggalakkan pemilik rumah kali pertama. "Bagaimana kita boleh menggalakkan pemaju menyediakan portfolio tertentu skim itu agar lebih mampu untuk pemilik rumah kali pertama juga adalah penting," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan "Over the Top" MBSB Cheeky Savings Club di sini, Selasa.

"Over the Top" ialah program TV realiti untuk kanak-kanak yang akan ke udara selama lapan minggu berturut-turut di TV3, bermula 8 September, 2012.

MBSB Cheeky Savings Club, yang dilancarkan pada April 2011, bertujuan menambah pemegang akaun kepada 50,000 dalam satu tahun daripada hampir 20,000 setakat ini.

Kelab itu mensasarkan penyimpan muda untuk membuka akaun simpanan dengan MBSB, dan menikmati pulangan memuaskan dan menjadi sebahagian daripada keahlian kelab yang menawarkan aktiviti dan faedah. "Dengan minimum RM50, pelanggan kanak-kanak boleh membuka akaun di mana-mana 35 cawangan kami seluruh negara dan mendapat 2.5 peratus kadar keuntungan setiap tahun," kata Ahmad Zaini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain