suria

7,000 Kanak-Kanak Orang Asli Tidak Bersekolah - Suhakam

KUALA LUMPUR: Seramai 7,000 orang kanak-kanak Orang Asli berusia enam hingga 12 tahun didapati tidak bersekolah, menurut kajian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada tahun 2010 hingga 2011.

Pegawai Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam Suhakam Hasmah Abd Manaf berkata kajian itu dibuat menerusi lawatan suruhanjaya itu ke 93 buah sekolah Orang Asli di seluruh Semenanjung.

"Masalah pengangkutan dan jalan penghubung menjadi penghalang untuk kanak-kanak ini ke sekolah memandangkan kawasan (penempatan) mereka terletak di pedalaman dan di hutan. "Ada kanak-kanak yang tidak bersekolah langsung juga disebabkan oleh tiada sekolah dibina di kawasan mereka selain ada sekolah yang terletak jauh dari kawasan penempatan mereka," katanya pada sidang media mengenai Hak Pendidikan dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)) di sini, Isnin.

Hasmah berkata selain itu, masalah lain kanak-kanak Orang Asli ialah mereka tidak diajar mengenai bahasa (ibunda) mereka di sekolah.

Menurut Perkara 30 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, kanak-kanak dari komuniti minoriti dan penduduk asli mempunyai hak untuk menikmati kebudayaan mereka dan mengamalkan bahasa dan agama mereka sendiri.

"Orang Asli seharusnya belajar menggunakan bahasa mereka untuk meneruskan kelangsungan budaya mereka," katanya.

Beliau berkata Suhakam turut melawat pada tahun ini, 21 buah Sekolah Agama Rakyat (S.A.R) di Pahang dan Selangor dan tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Perlis dan Kedah yang terletak di ladang dan estet.

Hasmah berkata bantuan daripada pihak berwajib seperti kemudahan prasarana dan teknologi maklumat amat kurang dan ini menyebabkan murid serta guru tidak berpeluang menggunakan kemudahan tersebut dan menimba ilmu menerusi internet.

Beliau berkata kebanyakan S.A.R mempunyai masalah pendaftaran dengan mereka tetap terus beroperasi walaupun tidak mematuhi syarat-syarat pendaftaran. "Apabila tidak mematuhi syarat, maka permohonan untuk pendaftaran tidak diluluskan dan mereka dibiarkan begitu sahaja dan beroperasi seperti biasa, sedang masyarakat pula bergantung pada sekolah ini untuk menghantar anak mereka.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha'ani Abdullah berkata ada murid yang tiada dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka tidak boleh menduduki peperiksaan awam dan guru pula tidak tahu bagaimana untuk menguruskan anak murid mereka. "Inilah kelemahan dalam pentadbiran sekolah dan Kementerian Pelajaran untuk sedarkan pihak tertentu supaya mendaftarkan anak mereka, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga harus memainkan peranan membantu masyarakat dan bukannya menghukum mereka," katanya.

Beliau berkata Suhakam turut menerima aduan bahawa sebuah sekolah pendidikan khas bagi kanak-kanak cacat pendengaran di Pulau Pinang tidak mempunyai guru terlatih dalam bahasa isyarat yang cukup. "Daripada 52 orang guru, hanya empat yang pandai bahasa isyarat. "Guru-guru yang terlatih dalam bahasa isyarat dipindahkan ke sekolah biasa. Ini tidak boleh diterima, tindakan ini mencabuli hak kanak-kanak pekak," katanya. Justeru, Muhammad Sha'ani berkata kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran harus mengambil perhatian terhadap permasalahan ini bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti dan sama-rata. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain