suria

Pekebun Lemas Selepas Terjatuh Dalam Kolam

JITRA: Seorang pekebun Lee Theak Lee ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam di kebunnya di Kampung E.C, Padang Sera dekat sini Ahad.

Isteri mangsa Chong Bee Bee, 48, berkata suaminya pergi ke kebun kira-kira pukul 7.30 malam Ahad dan dipercayai sedang mengambil air untuk menyiram tanaman sebelum terjatuh ke dalam kolam.

Chong berkata dia berasa curiga setelah mendapati Lee, 57, belum pulang hingga pukul 9 malam dan menghubungi adiknya yang tinggal di Kubang Cenok, Padang Sera dekat sini untuk bertanya tentang suaminya itu.

"Adik ada beritahu dia (suami) pergi ke rumah adik kira-kira pukul 5.30 petang. Saya pergi buat laporan polis pukul 2.30 pagi tadi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mayat Hospital Jitra di sini Isnin.

Chong berkata kira-kira pukul 6.30 pagi tadi, dia menerima panggilan daripada orang kampung memberitahu ternampak motosikal suaminya berhampiran kolam serta wang kertas RM50 terapung dalam kolam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohd Yusoff ketika dihubungi berkata mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 9 pagi tadi dan mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain