suria

Imigresen Tahan 88 Penjaja, Pekerja Warga Asing Di Bazar Ramadan

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 88 warga asing yang berniaga dan bekerja di premis tertentu dalam operasi membanteras penjaja asing di beberapa bazar sekitar ibu negara sejak awal Ramadan.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan James Musa Singa berkata operasi bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu diadakan berikutan aduan penjaja tempatan serta orang awam yang kurang senang dengan kehadiran warga asing itu.

"Kami sentiasa memantau kebanjiran penjaja warga asing di beberapa bazar sekitar ibu kota sepanjang Ramadan, dan diharap operasi ini dapat memberi lebih ruang kepada penjaja tempatan untuk berniaga seterusnya mengelak wujudnya persaingan daripada peniaga asing berkenaan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata semua warga asing berumur lingkungan 20 dan 40 tahun itu masih ditahan sehingga semalam atas pelbagai kesalahan, termasuk pas pekerjaan tidak sah, tinggal melebihi tempoh, malah ada yang didapati menjaja menggunakan lesen penjaja milik orang lain.

Seramai 354 warga asing dan 158 gerai diperiksa sepanjang operasi dan daripada 88 orang yang ditahan, 31 adalah warga Indonesia, 30 Bangladesh dan 27 Pakistan, kebanyakan mereka menjalankan perniagaan tekstil.

"Operasi julung kali melibatkan penempatan anggota imigresen di bazar Ramadan terpilih seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India dan sekitar Chow Kit mungkin dipertimbang untuk diteruskan pada masa akan datang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain