suria

Kelindan Lori, Suri Rumah Dituduh Terima Rasuah RM2,000

JOHOR BAHARU: Seorang kelindan lori dan seorang suri rumah dikenakan denda RM5,000 dan RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima suapan RM2,000 daripada seorang wanita, Februari tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin turut memerintahkan Mohd Sazlee Kamaludin, 40, dan H. Dantti Mohamad, 40, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap kesalahan itu.

Mereka dituduh secara suhabat menerima bagi pihak orang lain wang terbabit daripada seorang wanita, Shanti Nasib yang memiliki pasport bernombor H 102355 sebagai galakan untuk melepaskan suami Shanti, Abdul Aziz Nursidi yang ditangkap anggota Balai Polis Setia Indah, di sini, kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kedua-dua tertuduh yang mempunyai hubungan sebagai rakan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di nombor 45, Jalan Nibong 46, Taman Daya, pada 1.50 petang, 24 Februari 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 213 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara tiga tahun dan denda.

Pendakwaan terhadap Mohd Sazlee dan H. Dantti dikendalikan pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Noor Fazlin Hmadan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah sama, Hakim Mohd Nasir turut memerintahkan seorang pelayan hotel dan pelayan restoran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah merompak seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam, bulan lepas.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap, 24 Jun lepas.

Mohd Rahmat Abu Bakar, 22, dan Arif Fikri Zainal, 18, serta dua lagi rakan mereka yang masih bebas dituduh merompak Dashiwana Roslan, 21, dengan mengambil wang tunai RM94, lima bungkus coklat kinder bueno, lima bungkus coklat kinder joy, duit tabung derma RM30 dan sebuah telefon bimbit jenama Nokia bernilai RM520, di kedai 7-Eleven, Jalan Sena 1, Taman Rinting, Masai, di sini pada 5.40 pagi, 20 Jun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Chuah Shyue Chin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain