suria

Banduan Bersyukur Dapat Peluang Kedua

KLUANG: "Saya tidak tidur semalaman tunggu saat ini. Rasa macam tidak percaya saya akan dibebaskan kerana saya sepatutnya menjalani hukuman gantung sampai mati.

"Namun dengan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim maka saya dapat peluang kali kedua untuk memulakan hidup baru. Terima kasih banyak kepada Tuanku," kata salah seorang banduan yang dibebaskan dari Penjara Kluang setelah mendapat pengampunan daripada Sultan Johor.

Banduan berumur 58 tahun yang berasal dari Benut, Pontian memang tidak menyangka akan dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara hampir 26 tahun sejak tahun lalu dan menunggu hukuman gantung atas kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia dibebaskan bersama dua lagi banduan dari Penjara Kluang yang juga merupakan hari pertama umat Islam di negara ini berpuasa.

"Telah empat kali saya buat rayuan, tiga kali ditolak dan Alhamdulillah kali ini diperkenan. Penantian untuk dibebaskan satu penyiksaan kepada emosi dan psikologi saya dan ini membuatkan saya lebih menghargai erti nilai kebebasan selepas diberikan peluang kedua untuk hidup," katanya.

Katanya sepanjang tempoh menjalani hukuman, dia mempelajari seni kemahiran bertukang serta membuat perabot dan merancang untuk membuka sebuah bengkel pertukangan kayu selain mengajar kemahiran itu kepada golongan muda selepas ini.

Sementara itu, seorang lagi banduan yang dibebaskan berkata kegembiraan dan rasa syukur atas perkenan Sultan Johor untuk pembebasannya hari ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata ditambah lagi hari ini merupakan 1 Ramadan dan selepas menjalani hukuman penjara hampir 37 tahun.

Warga Singapura ini yang mula dipenjarakan 1975 ketika usia baru menginjak 20 tahun berkata kehidupan di sebalik tirai besi banyak mengajarnya dan di situ juga dia mula belajar mengenali Allah.

"Ketika saya mula ditempatkan di Penjara Ayer Molek 1978, saya mula mengenali tikar sembahyang yang selama ini saya tinggalkan dan di sana juga saya mengenali erti kehidupan dan mengenali diri saya sendiri iaitu hamba tuhan yang kerdil di sisiNya.

"Semasa dalam penjara, saya banyak berfikir sebelum tidur dan menyesal dengan apa yang saya lakukan. Orang tua hantar saya sekolah agama untuk didikan, namun sebab salah memilih kawan dan materialistik, saya tersilap langkah," katanya.

Katanya, sehingga kini dia merasa amat bersalah kepada orang tuanya yang sebelum ini memberikan didikan agama dunia dan akhirat yang mencukupi.

Beliau, 57 yang juga dikenali dengan gelaran nama Botak di kalangan rakan-rakan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam kali sebatan atas kesalahan memiliki senjata api di bawah Seksyen 5 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.

Menceritakan detik-detik hitamnya, Botak berkata selepas berhenti dari sekolah dia terlibat dengan kegiatan kongsi gelap dan berhijrah ke Johor Baharu apabila dipanggil untuk menyertai Perkhidmatan Negara Singapura.

Bermula dari detik itu dia berkenalan dengan beberapa rakan yang terlibat dengan jenayah serta mempunyai senjata api dan di situlah dia mula belajar menggunakannya.

Sehinggalah suatu hari, katanya, dia terserempak dengan beberapa anggota polis dan berlaku kejadian berbalas tembak menyebabkannya terpaksa menyembunyikan diri dalam hutan Ayer Bemban, Kulai sehingga ke Gelang Patah.

"Akibat terlalu lama, saya yang kelaparan dan letih terpaksa menyamar sebagai nelayan untuk mendapat makanan, namun orang kampung mengetahuinya dan bertindak menangkap saya sebelum menyerahkan kepada polis," katanya.

Bagaimanapun, Botak yang juga pernah di penjara di Sungai Buloh, Penjara Taiping, Penjara Ayer Molek, Johor Baharu bersyukur kerana di penjara jugalah dia mempelajari kemahiran menjahit dan kenangan paling manisnya apabila dapat memotong dan menjahit pakaian untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Sea di Brunei.

Beliau selepas ini merancang untuk membantu adik perempuannya menjalankan perniagaan butik di Singapura, sempat berpesan kepada golongan muda supaya tidak mudah mengikut darah muda dan berfikir dengan panjang sebelum melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.

Botak yang dibebaskan dari Penjara Kluang bersama seorang lagi banduan warga Indonesia bagaimanapun diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain