suria

Ambil Alih Syabas: S'gor Mahu Jawapan Dalam 2 Minggu

PUTRAJAYA: Kerajaan Selangor memberi tempoh dua minggu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air 'menjawab secara padat' berhubung hasratnya mengambil alih pengurusan syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), kata anggota Exco negeri, Dr Xavier Jayakumar.

"Oleh kerana mereka telahpun mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet (bagi membincangkan isu krisis air), dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) juga sudah diajak berbincang, ini bermakna, mereka agak serius mengenai perkara ini.

"Jadi, saya fikir dalam masa dua minggu, kita sepatutnya sudah menerima jawapan dalam bentuk yang konkrit daripada kementerian mengenai perkara ini," katanya.

Xavier berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat kepada kerajaan persekutuan berhubung cadangan kerajaan negeri mengambil alih pengurusan Syabas, di kementerian itu di sini, Khamis. Surat tersebut diterima oleh Nicholas Yii, setiausaha sulit kanan kepada menteri berkenaan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berikutan mesyuarat Exco negeri Selangor semalam yang mengambil keputusan menghantar surat itu kepada kerajaan persekutuan.

Pada Isnin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri merasakan adalah penting isu air itu diselesaikan segera demi kebaikan rakyat khususnya di Selangor.

Ditanya sekiranya surat berkenaan gagal menerima kelulusan daripada kementerian atau mendapat bantahan daripada Syabas, Xavier berkata: "Saya tidak mahu membuat spekulasi tentang apa yang akan terjadi. Apabila kita sampai ke situasi sedemikian, kita akan umumkan tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri."

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat bekalan air berkenaan gagal menjalankan tugas seperti termaktub dalam konsesi yang diberikan kepadanya.

"Jadi pihak kita sudah bersedia (bagi), mengambil alih, mengurus, segalanya. Kami sudah menyiapkan semua perkara untuk mengambil alih, supaya peralihan berjalan lancar dan (memastikan) tidak berlaku sebarang gangguan bekalan air," katanya lagi.

Mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet bagi membincangkan isu krisis air yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Xavier berharap kerajaan persekutuan akan menjadi pihak berkuasa yang bebas untuk meneliti isu berkenaan.

"Janganlah hanya menerima angka yang diberikan oleh Syabas. Inilah sebabnya kita kata memerlukan satu kumpulan audit bebas untuk masuk ke dalam Syabas dan meneliti angka yang diberikan oleh Syabas, sama ada ia betul atau sebaliknya," kata Xavier. -BERNAMA

Artikel Lain