suria

Pekerja Kilang Dipenjara 15 Tahun Sebabkan Kematian Pengutip Besi Buruk

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang pengutip besi buruk dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah memerintahkan tertuduh, K.Sundra Ganesan, 28, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 28 Disember 2010.

Sundra Ganesan didakwa menyebabkan kematian S.Balamurugan, 24, di tepi Jalan Galing 8, Taman Yayasan, Sungai Jarom dekat sini, antara 10.30 malam dan 11 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan Balamurugan menghadiri sebuah parti sempena Krismas di rumah seorang kawan pada hari kejadian.

Seorang rakan Balamurugan kemudian mendapati telefon bimbitnya hilang dan dia diberitahu Sundra Ganesan telah mengambil telefon bimbit itu.

Mangsa seterusnya mengajak rakannya itu ke rumah Sundra Ganesan, dan tertuduh yang baru sampai ke rumahnya dengan menaiki motosikal bertindak melarikan diri.

Balamurugan kemudian mengejar tertuduh dengan menunggang motosikal manakala rakannya mengekori dengan kereta.

Ketika rakan mangsa sampai di tempat kejadian, dia melihat beberapa orang berkumpul sebelum diberitahu Sundra Ganesan telah menetak mangsa dengan parang.

Balamurugan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital dan bedah siasat mendapati dia mengalami 12 luka akibat tetakan, dengan tetakan paling ketara adalah di bahagian lehernya.

Sundra Ganesan sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia menukar pengakuan kepada bersalah selepas tiga saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamalia Yahdi sementara tertuduh diwakili peguam Alvinthiren Nair. - BERNAMA

Artikel Lain