suria

Nama 900 Pesalah Rasuah Dipaparkan Dalam Laman Web SPRM

Laman web SPRM memaparkan pangkalan data pesalah rasuah.
Laman web SPRM memaparkan pangkalan data pesalah rasuah.
Laman web SPRM memaparkan pangkalan data pesalah rasuah.

PUTRAJAYA: Lebih 900 individu yang didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah termasuk personaliti berprofil tinggi disenaraikan dalam laman web yang lengkap dengan gambar, data peribadi dan sejarah kes.

Pangkalan data pesalah dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang dipaparkan dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau memberi rasuah.

Profil berkenaan yang diwujudkan pada 1 Januari 2010 sentiasa dikemas kini tetapi nama setiap pesalah akan dikeluarkan selepas tiga tahun.

Pesalah rasuah terdiri daripada ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan individu yang bekerja sendiri.

Sejarah kes di kalangan setiap pesalah membabitkan tuduhan, hukuman, mahkamah, hakim perbicaraan, timbalan pendakwa raya dan peguam pembela.

Carian boleh dilakukan berdasarkan nama atau nombor kad pengenalan pesalah.

Status terkini sesuatu kes turut dinyatakan untuk menunjukkan sama ada individu yang didapati bersalah merayu terhadap hukuman tersebut.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata: "Ada segelintir individu mengadu bahawa pangkalan data tersebut berniat untuk memalukan mereka. Pendirian kami adalah untuk mendidik orang ramai bahawa kesalahan rasuah adalah begitu serius. Kami mahu memberi kesedaran mengenai hukuman yang akan diterima jika mereka menerima atau memberi rasuah."

Dalam satu temu bual, beliau berkata SPRM sejak akhir-akhir ini sentiasa menekankan bahawa menawarkan rasuah juga satu kesalahan.

"Tidak akan wujud penerima jika tiada pemberi rasuah," katanya.

Pada tahun lalu, peratusan kejayaan SPRM dalam mendapatkan sabitan adalah sebanyak 75% daripada 388 kes, berbanding hanya 72% daripada 309 kes pada 2010.

Kira-kira 463 individu didapati bersalah tahun lalu termasuk mereka yang mengaku bersalah, berbanding 272 pada 2010.

Pada Januari hingga Mei tahun ini, seramai 211 orang didapati bersalah.

Jumlah mereka yang dipenjarakan tidak diketahui tetapi beliau berkata kira-kira RM10.9 juta bayaran denda diterima pada tahun lalu berbanding hanya RM9.5 juta pada 2010.

Artikel Lain