suria

Tiga Lelaki Dicari Bantu Siasatan Kes Cubaan Bunuh Anggota Polis

BUKIT MERTAJAM: Tiga lelaki dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes cubaan membunuh seorang anggota polis 2 Mei lepas, yang dipercayai bermotifkan dendam kerana pernah menahan mereka.

Mereka ialah N.Santhiramogan, 39, beralamat terakhir di No 6044, Pokok Machang, Tasek Gelugor dan M.Kartik Raj, 21, beralamat di No 1357, Pokok Sena serta B.Vijendren, 28, alamat terakhir di 67, Lorong 2/2, Taman Kijang, Lunas, Kedah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata dalam kejadian itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim diserang lima lelaki ketika menuju ke keretanya selepas keluar dari sebuah premis dekat Perai.

"Mangsa ditetak dengan parang di kepala dan perut, anggota polis itu masih berehat di rumah," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Hasan Mohamad Salih di talian 019-4642952. Azman berkata selain itu, polis turut mencari suspek utama kes bunuh seorang pemandu trak penunda di Jalan Song Ban Kheng, dekat sini, 25 Mei lepas.

Beliau berkata satu lakaran fotofit dikeluarkan dan polis meminta orang ramai yang pernah terlihat atau mempunyai maklumat mengenai suspek yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an supaya menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Suriman Shahrim di talian 012-4188669.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki rakyat Myanmar Ahad lepas bagi membantu siasatan kes bunuh isteri lelaki terbabit di Kampung Main Road, Perai dekat sini.

Azman berkata berdasarkan siasatan kedua suami isteri rakyat Myanmar yang baru dua bulan berkahwin itu bergaduh dipercayai berpunca kerana kegagalan wanita itu menyerahkan hasil jualan gerai makan kepada suaminya.

"Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, suami mangsa menuduh isterinya menghantar wang jualan gerai makan kepada keluarga wanita itu menyebabkan berlaku pertengkaran," katanya.

Beliau berkata lelaki terbabit kemudian membawa wanita itu ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan mengatakan isterinya cuba membunuh diri.

"Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati ada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa dan polis menahan lelaki itu pada hari kejadian bagi membantu siasatan. Lelaki itu direman sehingga 5 Jun," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain