suria

Kumpulan Pertama 230 Peneroka Felda Di Kedah Terima Durian Runtuh

JITRA: Seramai 230 orang kumpulan pertama peneroka Felda Guar Napai dekat sini dan Felda Batu 8 di Changlun, pada Khamis menerima 'durian runtuh' RM5,000 seorang sebagaimana dijanjikan kerajaan.

Durian runtuh dalam bentuk cek itu disampaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Wira Mohd Johari Baharom dalam satu majlis di Dewan Orang Ramai Felda Guar Napai.

Daripada jumlah itu, 144 adalah dari Felda Guar Napai iaitu rancangan Felda pertama dibuka di Kedah pada 1956 dan bakinya dari Felda Batu 8.

Bercakap kepada pemberita selepas penyampaian cek, Mohd Johari berkata pemberian itu adalah usaha murni berterusan kerajaan untuk menambah baik kehidupan peneroka.

"Pihak-pihak yang iri hati tidak akan berhenti menyebar maklumat tidak tepat dan akan terus memperkecilkan usaha murni kerajaan. Saya harap peneroka terus menyokong kerajaan," katanya.

Beliau berkata perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani Felda di New York semalam adalah langkah memasuki pasaran gobal berikutan rancangan penyenaraiannya Jun ini.

Mohd Johari yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu berkata seramai 460 peneroka Bukit Tangga dan 85 peneroka Felda Laka Selatan di Bukit Kayu Hitam dijangka menerima durian runtuh mereka dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Fama, Felda dan Mardi bekerjasama bagi menjadikan rancangan Felda pembekal halia bentong dan cili padi negara.

Katanya pada peringkat awal Mardi membekalkan benih tanaman itu kepada 40 orang peneroka Felda Guar Napai dan 30 peneroka Felda Batu 8 manakala Fama akan membeli hasil dan memasarkannya.

"Kita akan kaji perkembangan tanaman ini termasuk kesesuaian tanah. Jika hasilnya mememuaskan ia akan diperluaskan ke rancangan Felda lain supaya negara tidak bergantung kepada bekalan import," tambahnya.

Mohd Johari berkata pada tahun lepas negara terpaksa mengimport sebanyak 12,604 tan metrik halia dan cili padi bernilai lebih RM21 juta dari Thailand bagi menampung permintaan.

Katanya halia bentong boleh dituai dalam masa enam bulan dan cili padi dalam masa empat bulan akan menyumbangkan pendapatan tambahan peneroka. - BERNAMA

Artikel Lain