suria

Tindakan Tatatertib Terhadap Penjawat Awam Tidak Hadir Bertugas

KUALA LUMPUR: Ketua jabatan dan penyelia hendaklah mengambil tindakan tatatertib dengan kadar segera terhadap penjawat awam yang didapati bersalah dalam kes ketidakhadiran bertugas.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Rabu, JPA tidak akan bertoleransi terhadap penjawat awam yang terlibat dalam kes sedemikian kerana ia boleh mencemarkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Katanya ketua jabatan dan penyelia boleh mengambil tindakan dengan merujuk Panduan Mengurus Pegawai Tidak Hadir Bertugas, Buku Kerusi Bersawang dan Setitik Nila yang boleh diperoleh melalui portal rasmi JPA.

"Secara umum, purata penjawat awam yang terlibat dalam kes ketidakhadiran bertugas bagi tempoh 2006 hingga 2010, adalah sebanyak 0.08 peratus berbanding 1.4 juta penjawat awam.

"Walaupun hanya segelintir penjawat awam yang terlibat dengan perlanggaran tatakelakuan itu, JPA tidak akan bertoleransi dengan perkara itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut JPA telah mengadakan pelbagai seminar, kolokium, sesi dialog, kursus dan taklimat bagi mewujudkan penglibatan ketua-ketua jabatan di peringkat agensi bagi mendapatkan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ketidakhadiran bertugas di kalangan penjawat awam.

JPA juga telah melaksanakan kajian penandaarasan dan perbandingan berkenaan pengurusan kes ketidakhadiran bertugas yang diamalkan oleh beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa negara Asia dan Eropah.

"Hasil kajian tersebut mendapati bahawa peraturan sedia ada yang diamalkan dalam perkhidmatan awam kini adalah paling sesuai dan relevan sejajar dengan kapasiti perkhidmatan awam yang besar iaitu kira-kira 1.4 juta penjawat awam," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain