suria

Warga Felda Diingatkan Tidak terpengaruh Hasutan Pembangkang - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Peneroka Felda harus bersyukur dan menolak dakwaan pemimpin pembangkang yang selama ini mengatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyisihkan mereka daripada arus pembangunan dan pemodenan negara.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 bagi setiap keluarga Felda membuktikan kerajaan BN tidak pernah mungkir janji kepada rakyat di samping sentiasa menjaga kebajikan mereka sepanjang masa.

Menurutnya, pemberian ini juga menunjukkan kerajaan tidak pernah membohongi rakyat dan sentiasa melaksanakan apa yang dijanjikan selama ini.

"Bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sebagai gula-gula kepada rakyat menjelang pilihan raya sebaliknya merupakan sumbangan Felda kepada peneroka hasil keuntungan perniagaan yang diperoleh melalui produk yang dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Selasa lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan memperuntukkan dana RM1.689 bilion untuk diagihkan secara tunai kepada 112,635 keluarga peneroka yang akan dibayar dalam tiga fasa.

Pembayaran fasa pertama RM5,000 untuk setiap ketua keluarga akan dilaksanakan tidak lama lagi, diikuti fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka bagi mengiktiraf sumbangan mereka yang dibuat sejurus bayaran fasa pertama selesai.

Bayaran RM5,000 lagi akan diagihkan kepada anak peneroka yang dijangka dilaksanakan selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Bursa Malaysia bulan depan.

Kira-kira 20,000 pegawai dan kakitangan Kumpulan Felda pula akan menerima bonus tambahan dua bulan setengah gaji tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain