suria

Saman 273 Peneroka Felda Terhadap Peguam, Firma Guaman Didengar Semula

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan saman 273 peneroka Felda Kemahang 3 terhadap bekas peguam mereka dan sebuah firma guaman berhubung pembayaran pampasan berjumlah RM11.23 juta didengar semula oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk K.N.Segara, Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim sebulat suara memutuskan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi itu yang membatalkan saman peneroka terbabit.

Berikutan keputusan ini, kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kota Baharu untuk perbicaraan.

Dalam penghakimannya, Hakim Segara memerintahkan peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Asmadi Abu Bakar memfailkan pembelaan mereka dalam tempoh dua minggu mulai Selasa.

Mereka juga diperintah membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada peneroka terbabit.

Mereka adalah antara 354 peneroka yang menang dalam saman terhadap Felda selepas Mahkamah Persekutuan pada 2010 menolak permohonan agensi itu untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM7.8 juta.

Jumlah itu kemudian meningkat kepada RM11.23 juta bersama faedah terkumpul.

Peneroka terbabit menyaman Felda berhubung pembayaran hasil kelapa sawit dan mendakwa agensi itu memberi nilai yang rendah terhadap mutu buah yang dihasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan mereka rugi.

Abdullah Che Hassan bersama 272 peneroka kemudian memfailkan saman terhadap kedua-dua peguam yang merupakan rakan kongsi firma guaman Tetuan Wan Rohimi & Asmadi, dan menuntut mereka mendedahkan jumlah yuran perundangan, kos mahkamah serta jumlah sebenar pampasan yang sepatutnya dibayar kepada mereka.

Setiap peneroka sepatutnya mendapat pampasan sebanyak RM30,000 namun mereka mendakwa hanya menerima RM19,000 yang membabitkan sejumlah RM6.72 juta secara keseluruhan.

Pada 2 Oktober 2011, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan saman peneroka terbabit selepas membenarkan permohonan Wan Rohimi dan Asmadi.

Terdahulu, peguam Mohd Yaacob Bakanali yang mewakili peneroka memberitahu mahkamah pelanggannya mahu responden mendedahkan akaun di mana wang pampasan itu dibayar kerana mereka mendakwa terdapat baki sebanyak RM4.5 juta daripada jumlah tersebut serta faedah RM85,589.

Beliau berkata, anak guamnya juga beberapa kali cuba bertemu responden bagi mendapatkan baki pampasan untuk dibayar kepada semua peneroka yang terbabit dalam kes itu, namun gagal.

Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusof berkata, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila membatalkan saman peneroka terbabit selepas mendapati ia tidak dapat dipertahankan kerana dalam penyataan tuntutan, mereka menuntut ganti rugi, sedangkan mereka sepatutnya menyaman responden untuk mendapatkan baki wang pampasan berkenaan.

Wan Rohimi dan Asmadi memfailkan saman RM25 juta terhadap peneroka berkenaan atas dakwaan konspirasi dan fitnah. Kes itu belum selesai. - BERNAMA

Artikel Lain