suria

Pakar Motivasi Bebas Daripada Tuduhan Bunuh Warga Singapura

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin melepaskan dan membebaskan seorang pakar motivasi daripada tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan warga Singapura berhampiran kawasan rekreasi Gunung Jerai, Gurun, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Tan Chia Mooi, 39.

Tan juga dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Tan dituduh membunuh Arthur Lee Wee Guan, 58, antara pukul 9.30 malam pada 20 Mac 2011 hingga 2.30 pagi 21 Mac 2011 di kilometer 8.3 Jalan Gunung Jerai, Gurun.

Pertuduhan terhadap Tan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk S.Ganeson dan Ranjit Singh Dhillon. - BERNAMA

Artikel Lain