suria

Kerajaan Usaha Selesaikan Isu Pemandu Lori Kontena-Operator Depot

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu ketidakpuasan hati pemandu lori kontena terhadap operator depot di Pelabuhan Klang.

Katanya Ketua Setiausaha Kementerian Pengakutan bersama pegawai tinggi kementerian telah mengadakan perjumpaan pada 30 April bersama pihak pengurusan depot untuk mencari jalan penyelesaian.

"Walau bagaimanapun, ia akan mengambil masa memandangkan Majlis Perbandaran Klang merupakan pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab memberi lesen pengurusan depot, dan pihak pemandu lori kontena pula adalah di bawah seliaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD).

Kong berharap pada pemandu terbabit bersabar dan dapat menyambung semula perkhidmatan sementara kementerian berusaha menyelesaikan masalah berkenaan.

Media hari ini melaporkan lebih 2,000 pemandu lori kontena mogok sejak semalam kerana tidak berpuas hati dengan kenaikan caj yang dikenakan pemilik depot kepada mereka bagi menghantar atau mengambil kontena di pelabuhan itu.

Pengerusi Pemandu-pemandu Kontena Semenanjung Malaysia Abdul Aziz Yusof dilaporkan mendakwa Persatuan Depoh Kontena Malaysia (MCDA) sebelum ini hanya mengenakan caj RM5 untuk menghantar dan mengambil kontena ke depot, namun dinaikkan sehingga RM20 sejak setahun lepas tanpa mengeluarkan sebarang notis.

Kong berkata tindakan pemandu lori kontena itu akan menjejaskan operasi pelabuhan dan secara langsung menjejaskan pihak industri yang perlu menggunakan kemudahan depoh serta pemandu lori kontena. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain