suria

Ahli Parlimen Pembangkang Tidak Hormat Undang-Undang - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Perhimpunan yang bertukar menjadi ganas Sabtu lepas menunjukkan sikap Anggota Parlimen pembangkang tidak menghormati undang-undang yang disokong di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia juga menunjukkan mereka (pembangkang) tidak menghormati keputusan mahkamah.

Sebelum perhimpunan itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah menghalang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei lepas.

"Perhimpunan yang dikatakan aman untuk menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil telah bertukar menjadi huru hara serta ganas yang menyebabkan kerosakan teruk pada harta benda negara," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di sini, Khamis.

Katanya permintaan penganjur perhimpunan tersebut bagi mewujudkan pilihan raya yang adil dan bersih telah dilunaskan oleh kerajaan melalui pembentukan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya yang turut dianggotai oleh Anggota Parlimen pembangkang.

"Sistem pilihan raya di negara ini adalah adil dan telus, buktinya pihak pembangkang mampu meraih undi yang besar sekaligus memenangi beberapa buah negeri melalui pilihan raya umum yang lepas.

"Malah pilihan raya kecil yang diadakan menyaksikan pembangkang memenangi lapan daripada 16 kerusi yang ditandingi," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin kerana mendedahkan pembohongan pembangkang kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi tentera dan meminta mereka membuat sesuatu jika Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) .

Ahmad Zahid berkata dakwaan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai perkara itu adalah tidak benar dan merupakan satu pembohongan.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Ismail Ahmad dan Zulkifeli. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain