suria

Seorang Peniaga Didakwa Mencuri Dalam Kereta

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan mencuri dalam kereta, Sabtu lepas.

Meera Sahib Abdullah, 39, didakwa mencuri dua telefon bimbit, pemacu pena, cermin mata, dan dompet yang mengandungi wang tunai RM82 milik Chan Kar Mun, 19, yang kesemuanya bernilai RM2,200 dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Jalan Telawi 5 Bangsar Pantai, Brickfields di sini pada pukul 3.30 pagi 28 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencuri telefon bimbit dalam kereta yang sama milik seorang lelaki, Tan Yuen Pin, 19, yang bernilai RM1,300.

Bagi kedua-dua pertuduhan Meera Sahib didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan Meera Sahib diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang penganggur mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggugut seorang pelajar menggunakan parang, Jumaat lepas.

Mohd Redzuan Hussin, 29, didakwa telah menakutkan Nur Liyana Muarep, 16, dengan menggunakan sebilah parang di pekarangan lokap Jinjang di sini pada pukul 12.15 tengah hari 27 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Redzuan juga didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditahan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Shakirah menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula.

Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Lain