suria

Ribuan Kunjungi JPJ, Bida Nombor Pendaftaran WWW

KUALA LUMPUR: Ribuan pengunjung mula membanjiri tiga cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini untuk membida nombor kenderaan 'WWW' sebaik saja ia dibuka untuk tempahan.

Di cawangan Wangsa Maju, orang ramai beratur di pintu masuk sebelum pejabat urusan itu dibuka pada pukul 7.45 pagi.

Seorang pegawai berkata, keadaan seperti itu tidak pernah berlaku kerana kebanyakan pengunjung biasanya tiba pada pukul 10 pagi.

Katanya, nombor pendaftaran yang mendapat sambutan hangat tidak dikategorikan sebagai premium, nombor menarik atau popular juga dibida.

Bidaan minimum untuk nombor premium (dari 1 hingga 10) dan nombor menarik adalah masing-masing sebanyak RM10,000 dan RM2,000.

Nombor popular pula memerlukan bidaan minimum sebanyak RM300.

Wan Nurhaslinda Junaini, 31, yang membida nombor pendaftaran sempena sambutan hari lahirnya berkata, dia inginkan nombor tersebut walapun ia antara kombinasi yang tidak popular.

"Saya mahu membida nombor tersebut kerana WWW yang bermaksud 'World Wide Web' hanya datang sekali. Saya rasa perlu membidanya," katanya.

Pengunjung lain yang hadir turut berkata mereka sanggup menghabiskan ratusan hingga ribuan ringgit untuk membida nombor pendaftaran tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, nombor pendaftaran tersebut menarik minat orang ramai sehingga pihaknya menerima banyak pertanyaan.

Beliau turut yakin rekod harga nombor pendaftaran yang paling tinggi iaitu "MCA 1" yang dijual dengan harga RM300,100, dua tahun lalu dapat diatasi.

Sebelum ini, bidaan tertinggi adalah untuk nombor pendaftaran Terengganu, TAY1 yang dijual pada harga RM242,000.

Bidaan untuk nombor pendaftaran itu akan dibuka sehingga 12 tengah hari, 14 Mei ini. Keputusan akan diumumkan pada 24 Mei ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain