suria

8,000 Banduan Warga Asing Di Penjara Malaysia

PETALING JAYA: Kira-kira 8,000 banduan warga asing sedang menjalani hukuman penjara di negara ini sekarang dan Jabatan Penjara Malaysia perlu dengan segera mewujudkan Program Pemindahan Banduan Antarabangsa untuk mengatasi kesesakan tersebut.

“Sehingga Februari 2012, jumlah warga asing yang dipenjarakan di negara ini adalah seramai 7,819 orang daripada 33,000 orang banduan keseluruhannya.

“Mereka merupakan banduan yang berasal dari lebih 20 negara, yang dihukum penjara di negara ini kerana pelbagai kesalahan,” demikian kata sumber Jabatan Penjara kepada mStar Online.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan pecahan terperinci negara-negara asal banduan-banduan warga asing tersebut dan jenis-jenis kesalahan mereka.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan rangkaian kerjasama menerusi Program Pemindahan Antarabangsa, antara lain bertujuan untuk mengurangkan kesesakan banduan di negara ini.

Sumber itu berkata, secara keseluruhan, jumlah penghuni untuk 33 penjara di seluruh Malaysia adalah lapan peratus di bawah kapasiti atau kemampuan sebenar muatan seluruh penjara berkenaan.

“Jika terdapat penjara yang sesak, kita boleh lakukan (mengurangkan kesesakan) dengan memindahkan banduan ke penjara lain yang mempunyai kapasiti lebih daripada mencukupi,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, rancangan untuk mewujudkan program pemindahan itu bukan semata-mata untuk mengurangkan kesesakan banduan di negara ini, malah katanya, turut dipengaruhi oleh beberapa faktor lain yang melibatkan kebajikan banduan dan hubungan banduan dengan keluarga mereka.

Rancangan untuk Malaysia mengambil bahagian dalam Program Pemindahan Antarabangsa ini pertama kali dibangkitkan pada tahun 2009.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata, Akta Penjara 1955 akan dipinda bagi membolehkan banduan warga asing di negara ini dipindahkan ke negara asal mereka bagi menghabiskan baki hukuman.

Sumber itu berkata, walaupun pindaan akta tersebut masih belum dibentangkan di Parlimen namun Jabatan Penjara mengalu-alukan rancangan penubuhan program pemindahan banduan itu pada kadar yang segera.

“Pada masa ini pun, kami sudah menerima permohonan daripada beberapa negara untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan Malaysia bagi pemindahan banduan,” kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, sekiranya akta tersebut dipinda dan menguatkuasakan Program Pemindahan Banduan Antarabangsa kelak, negara perlu mengadakan perjanjian bersama dengan negara-negara yang berminat mengambil bahagian.

“Harus diingatkan bahawa ia (program) bukanlah satu program pertukaran, seperti seorang banduan warga tempatan yang ditukarkan dengan seorang banduan warga asing. Konsep itu biasanya digunapakai bagi tahanan perang di negara luar seperti di Afghanistan.

“Program ini adalah pemindahan banduan, yang boleh dilakukan secara sehala, tanpa sebarang pertukaran. Ia sekadar melibatkan pemindahan banduan warga asing ke negara asal mereka atau banduan warga tempatan dihantar pulang ke Malaysia.

Menurut statistik Kementerian Luar, dari 1991 hingga tahun lalu, jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara adalah 1,941 orang.

Sumber itu menambah, pemindahan banduan juga bergantung kepada syarat dan perjanjian yang dipersetujui serta jenis kesalahan dan hukuman.

Difahamkan, Jabatan Penjara sudah pun mewujudkan Bahagian Pemindahan Banduan Asing (Transfer of Prisoners) sebagai persediaan melaksanakan Program Pemindahan Banduan Antarabangsa.

“Pada masa ini, bahagian ini menjalankan tanggungjawab berkaitan dengan urusan yang melibatkan hubungan antarabangsa dan pihak kedutaan, selain berhubung dengan perihal serta keperluan banduan warga asing di negara ini,” katanya.

Artikel Lain