suria

Pelatih Latihan Pengurusan Kediaman Mesti Sanggup Jadi Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR: Warga tempatan yang ingin mengikuti program latihan pengurusan kediaman mesti sanggup menjadi pembantu rumah apabila mereka tamat latihan yang dianjurkan kerajaan kelak, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

"Warga tempatan yang mengikuti program itu mestilah memanfaatkan apa yang telah dipelajari...apabila selesai latihan mereka perlu menjadi pembantu rumah. "Jadi penganjur program latihan harus membuat perjanjian dengan peserta program bagi memastikan mereka ini akan bekerja selepas tamat latihan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Zaitun Mat di Dewan Negara di sini, Isnin.

Beliau berkata kesudian kerajaan menganjurkan program ini adalah lanjutan daripada kajian yang dijalankan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai kaedah bagi membolehkan rakyat Malaysia sendiri melaksanakan kerja pengurusan kediaman.

Ia juga satu usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pembantu rumah asing khususnya dari Indonesia, katanya.

Sebelum ini bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pernah dipetik berkata program ini dijangka akan bermula bulan depan.

Subramaniam juga berkata kebanyakan warga tempatan berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan beranggapan mereka tidak layak untuk menjadi pembantu rumah disebabkan gaji yang kecil.

Beliau berkata isu pengurangan kebergantungan terhadap pembantu rumah asing akan berjaya diatasi sekiranya program latihan tersebut berjaya menukar persepsi kurang baik terhadap bidang itu selain menarik lebih ramai warga tempatan menceburinya.

"Cadangan untuk menukar nama pekerjaan tersebut kepada 'home manager' juga mungkin satu langkah yang dapat menarik minat warga tempatan untuk menjadikan kerjaya ini sebagai satu kerjaya tetap," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Senator Mohamad Yusuf Hussin.

Subramaniam berkata warga tempatan juga lebih cenderung menjadikan kerjaya pembantu rumah sebagai kerja sampingan mereka kerana dapat memperoleh pendapatan yang tinggi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain