suria

Mayat Lelaki Dengan Kesan Tikaman Dan Luka Ditemui Dalam Longkang

NIBONG TEBAL: Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman dan luka di badannya ditemui dalam sebuah longkang di tapak pembinaan di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat dekat sini, Ahad.

Mayat M. Paranjothi, 30-an, yang bekerja di sebuah kedai pertukangan di Bukit Mertajam, dekat sini ditemui dalam longkang di tapak pembinaan berkenaan pada pukul 3.25 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata siasatan awal mendapati mangsa yang masih bujang dan berasal dari Yong Peng, Johor itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum ditinggalkan di kawasan tapak pembinaan berkenaan.

"Pekerja kontrak di tapak pembinaan itu kemudiannya menghubungi polis. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan berdasarkan laporan patologi mangsa dipercayai dibunuh enam jam sebelum ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Shafien berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian 04-5824222 atau mana-mana balai polis berdekatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain