suria

Tahanan Kes Rompak Lolos Dari Lokap Mahkamah Jalan Duta

KUALA LUMPUR: Seorang tahanan yang akan dibicara di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan merompak dan menyamar sebagai anggota polis meloloskan diri daripada lokap tahanan sementara di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, Jumaat.

Tahanan lelaki berusia 32 tahun itu melarikan diri pada pukul 8.20 pagi dengan berpakaian baju-T berwarna kuning dan berseluar pendek ketika pihak polis membawa masuk lebih kurang 50 tahanan lain daripada Penjara Sungai Buloh untuk diserahkan kepada anggota polis yang menguruskan tahanan di mahkamah itu.

Lokap tahanan sementara itu terletak di "basement" dua bangunan itu.

Sumber polis memberitahu Bernama pihaknya tidak dapat mengesahkan bagaimana tahanan itu berjaya meloloskan diri dan mereka kini meneliti rakaman kamera litar tertutup di kompleks berkenaan untuk mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku.

Tinjauan Bernama juga mendapati sekumpulan anggota polis kini telah mengepung keseluruhan kawasan kompleks mahkamah itu dengan melakukan pemeriksaan setiap bilik dalam mahkamah berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain