suria

APMM Tahan Dua Rakyat Thailand Dan Rampas Rokok

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua warganegara Thailand dan merampas 85 karton rokok pelbagai jenis yang cuba diseludup ke negara jiran, kira-kira 1.97 batu nautika dari Pulau Gasing perairan Langkawi, pada Selasa.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata bot ronda APMM berjaya mengesan sebuah bot kayu dari Tanjung Rhu yang sedang menuju ke perairan sempadan kira-kira pukul 12.08 tengah hari semalam.

"Setelah pemeriksaan dilakukan bot itu didapati dikendalikan dua warga Thailand, seorang lelaki dan seorang wanita, berumur 35 dan 31 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah," katanya di sini, Rabu.

Beliau berkata pihaknya menjumpai 85 karton rokok pelbagai jenama yang diletak dalam tiga kotak dan dua bungkusan plastik hitam. Nilai rokok itu adalah RM1,000 manakala cukai barangan ditaksirkan kira-kira RM8,500. - BERNAMA

Artikel Lain