suria

Jumlah Caruman KWSP Dikaji Semula - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Jumlah caruman bulanan daripada pekerja dan majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikaji semula untuk memastikan wang simpanan pekerja mencukupi apabila mereka mencapai usia persaraan kelak.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, golongan pekerja khususnya mereka yang memperoleh pendapatan bulanan RM700 dan ke bawah menghadapi masalah kewangan selepas mereka bersara dan wang simpanan KWSP akan habis dalam masa tiga tahun.

"Ada pelbagai faktor yang menyebabkan duit simpanan KWSP mereka habis selepas mengeluarkannya selepas mencapai usia persaraan, antaranya ialah kos harian yang semakin meningkat seperti kos perubatan dan hutang pinjaman yang belum diselesaikan sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa KWSP 2012 anjuran KWSP bertema 'Evolusi Dinamik Dunia Pencen' yang berlangsung selama dua hari mulai Isnin.

Subramaniam berkata jumlah caruman sedia ada tidak sesuai diguna pakai pada masa sekarang kerana jangka hayat rakyat Malaysia sudah meningkat sehingga 75 tahun ke atas berbanding jangka hayat 60 tahun pada sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

Katanya kementerian akan mencari kaedah terbaik dalam memastikan golongan pekerja menikmati kehidupan yang selesa sepanjang hayat mereka selepas melepasi usia persaraan dengan mewujudkan skim caruman KWSP yang lebih baik pada masa depan.

"Antara kaedah itu ialah menyediakan insentif kepada majikan sekiranya mereka menggunakan khidmat warga emas di organisasi mereka, dan ia juga dapat menyelesaikan masalah kemiskinan warga emas," katanya.

Kementerian akan mendapat cadangan daripada Seminar Antarabangsa KWSP 2012 itu untuk merangka skim caruman yang lebih sesuai.

Subramaniam berkata selain cadangan untuk menaikkan jumlah caruman, kementerian akan mencadangkan kepada majikan untuk meningkatkan usia persaraan 55 tahun sekarang dan melanjutkan perkhidmatan mereka.

Pada majlis berasingan, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara KWSP dan Universiti Malaya untuk penubuhan Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial di Fakulti Ekonomi Pentadbiran UM.

Turut hadir Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Bahagian Operasi) KWSP, Datuk Ibrahim Taib dan Naib Canselor Universiti Malaya Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.

Pusat penyelidikan berkenaan, yang akan dibiayai oleh KWSP, membabitkan kerjasama KWSP dan Kursi Perlindungan Kewangan Hari Tua UM dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran pembuat dasar dan rakyat Malaysia berkaitan isu persaraan golongan pekerja. - BERNAMA

Artikel Lain