suria

Najib Cadang Taman Sekutu Di Malaysia

NANNING: Malaysia berharap kerajaan China dan pemain industri dan perniagaan negara itu akan menyokong penubuhan sebuah taman perindustrian sekutu di Malaysia berikutan kejayaan melancarkan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) dekat sini, Ahad.

Bercakap pada majlis pelancaran QIP, sebuah projek usaha sama antara Malaysia dan China, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek seumpama itu akan membantu syarikat China mengembangkan sayap mereka di Asia Tenggara.

"Saya ingin melihat pembangunan sama seperti itu di Malaysia," katanya semasa melancarkan projek QIP itu bersama rakan sejawatannya Wen Jiabao di tapak projek itu di Qinzhou, kira-kira 150km dari sini.

Najib berkata taman sekutu itu akan menyediakan peluang baru untuk usahawan Malaysia dan China menjalankan perniagaan.

Memetik pepatah Cina berbunyi "Satu generasi menanam pokok, generasi lain mendapat teduh", Perdana Menteri berkata beliau percaya pembukaan QIP China-Malaysia "menandakan permulaan era baru dalam kerjasama ekonomi antara negara kita yang mana generasi seterusnya bakal mendapat hasilnya."

Semasa pelancaran itu, Najib dan Jiabao melakukan upacara meletakkan batu asas sebelum menanam sebatang pokok sebagai tanda persahabatan yang semakin akrab antara kedua-dua negara itu.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyertai orang kenamaan lain dalam majlis menanam pokok.

Najib menyifatkan hubungan antara Malaysia dan China hari ini sebagai amat kukuh seperti tidak pernah sebelum ini.

"Hubungan kekeluargaan dan persahabatan antara negara besar ini dan komuniti Cina di Malaysia sendiri wujud bagi semua untuk melihatnya," katanya.

Perdana Menteri juga berpuashati dengan kemajuan pesat QIP selepas idea itu mula diilhamkan semasa lawatan Perdana Menteri China ke Kuala Lumpur, April tahun lepas.

"Realisasi pesat projek ini dalam hanya masa setahun - kelajuan luar biasa dengan impian ini menjadi realiti - merupakan bukti kepada semangat dan bertenaga serta komitmen bagi kedua-dua pihak dan hubungan ekonomi yang lebih luas dan mendalam antara kedua-dua negara kita," katanya.

Taman QIP merupakan kawasan strategik memandangkan ia terletak dekat dengan negara ASEAN berikutan Pelabuhan Bebas Qinzhou bertindak sebagai akses paling mudah bagi barat daya China khususnya Kunming, bandar raya terbesar di wilayah Yunnan.

Memandangkan garis pantai sepanjang 86 kilometer, Pelabhuan Bebas Qinzhou merupakan salah satu pelabuhan China yang paling dekat dengan negara-negara ASEAN.

Taman QIP, dibina di atas kawasan seluas 55 kilometer persegi selama 15 tahun, akan memainkan peranan sebagai pintu masuk kepada produk dan syarikat Malaysia menebusi pasaran domestik China yang luas.

Fasa pertama QIP meliputi kawasan seluas 15 kilometer persegi. Najib berkata kawasan permulaan yang merangkumi keluasan 7.87 kilometer persegi dianggarkan membawa pelaburan kira-kira US$300 juta (RM918.6 juta).

Jiabao, dalam ucapannya, berkata beliau bersetuju dengan pendapat Najib bahawa hubungan China dan Malaysia harus berdasarkan saling kepercayaan dan menjelaskan dengan cara itu sahaja kedua-dua negara itu boleh menghadapi cabaran global.

Beliau berkata hubungan China-Malaysia mempunyai asas yang kukuh dan disulami dengan sejarah lama iaitu sejak waktu kepimpinan Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang juga ayah Najib.

"Kita perlu menyemai benih harapan demi masa depan yang lebih baik untuk kedua-dua negara kita ini," katanya.

Bagi tiga tahun berturut-turut, China menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia dengan mencatatkan 13.2 peratus nilai jumlah dagangan keseluruhan Malaysia.

Tahun lepas, jumlah nilai dagangan Malaysia dan China bernilai US$54.53 bilion (RM166.86 bilion) berbanding US$45.50 bilion (RM146.5 bilion) pada tahun 2010.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting dan delegasi syarikat usaha sama dari Malaysia dan China.

Projek itu akan diterajui oleh sebuah syarikat konsortium dari Malaysia dengan diketuai oleh Kumpulan Rimbunan Hijau dan Kumpulan SP Setia Bhd manakala China diwakili oleh Guangxi Beibu Gilf International Port Group dan Qinzhou Jingu Investment Company.

Terdahulu, Najib dan Jiabao menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama projek itu antara syarikat dari kedua-dua negara itu. - BERNAMA

Artikel Lain