suria

Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas: The Star Raih Empat Anugerah

KUALA LUMPUR: Wartawan The Star memenangi empat anugerah sekaligus menjadi pemenang terbesar pada Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011, di sini malam Jumaat.

Jurugambar Azhar Mahfof dan Kamarul Ariffin Hassan serta wartawan Elan Perumal, Bavani Mahalingam dan Yip Yoke Teng antara 18 pemenang yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM300,000 pada majlis tersebut.

Mereka bertanding dalam 13 kategori keseluruhannya.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, ia adalah kemenangan berharga untuk warga kerja The Star.

"Ia suatu pencapaian yang membanggakan. Kejayaan itu sudah tentu menjadi penanda aras kepada rakan sekerja mereka," katanya.

Elan memenangi kategori 'Laporan Berita Terbaik' untuk laporan Starprobe bertajuk 'Raw Deal' dan turut dicalonkan bagi Anugerah Kajai.

Elan berkata, dia mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan laporan itu.

"Namun, saya amat gembira kerana segala usaha dan kerja keras akhirnya membuahkan hasil," katanya.

Azhar dan Kamarul memenangi anugerah 'Kewartawanan Foto Cemerlang' bagi foto bertajuk 'North-South Exp-Rice-Way', yang memaparkan orang ramai sedang mengutip beras yang bertaburan di atas lebuh raya setelah sebuah lori membawa muatan beras terbalik di laluan itu.

Foto bertajuk 'Defiant' ketika perhimpunan Bersih 2.0 turut dinobatkan sebagai pemenang anugerah tersebut.

Kamarul berkata, dia sangat gembira kerana dapat mengharumkan nama akhbar ini. Saya ingin berkongsi kejayaan dengan rakan sekerja di The Star," katanya.

Yip yang memenangi anugerah Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang menerusi artikel bertajuk " Street with A History' (Preserve Our Heritage) berkata, laporannya menekankan langkah-langkah pemeliharaan sejarah memandangkan Malaysia kaya dengan pelbagai warisan.

Sementara itu, Bavani memenangi anugerah 'Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang' menerusi laporan berita bertajuk “Empty Stalls” dan “Slums in Disguise”.

Artikel Lain