Tujuh Anggota Rela Ditahan Reman Bantu Siasatan Kes Kematian Warga Nigeria

KUALA LUMPUR: Tujuh anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) ditahan reman tujuh hari bermula Ahad, bagi membantu siasatan kes kematian lelaki warga Nigeria di Kondominium Venice Hills, Hulu Langat pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Superitendan Ab Rashid Ab Wahab berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian lelaki warga Nigeria itu, katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kawasan kejadian juga dipantau polis bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini, susulan perbuatan sekumpulan warga Afrika yang merusuh disebabkan insiden kematian rakan senegara mereka itu pada Sabtu.

"Setakat ini belum ada tindakan yang diambil ke atas warga Afrika yang merusuh semalam. Kita masih lagi menjalankan siasatan," katanya.

Seorang lelaki warga Nigeria, Onochie Martins Nwankwo, 35, mati pada Sabtu setelah dibelasah kerana mencabul seorang wanita tempatan di kondominium itu dan akibat kejadian tersebut kira-kira 200 lelaki Afrika yang tinggal di situ merusuh dengan merosakkan fasiliti harta awam seperti pondok pengawal dan bilik gerakan Rela. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain