suria

Polis Tahan Lelaki Miliki Pelbagai Senjata Berbahaya

NIBONG TEBAL: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun dan pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah SPS Supt Shafien Mamat berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis di Bandar Tasek Mutiara di sini dan polis menemui sebilah pedang samurai, gunting, pisau lipat, pisau kecil dan keris dalam bonet keretanya.

"Selain itu, polis turut merampas sebuah alat penimbang elektronik dan dua tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin dalam keretanya," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata lelaki itu ditahan sepasukan anggota polis yang membuat rondaan pencegahan jenayah di Bandar Tasek Mutiara ketika dia sedang memandu.

Shafien berkata siasatan awal mendapati lelaki itu terbabit dalam kegiatan jenayah samun, pecah rumah dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Dia kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan menurut Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan dan Senjata Bahaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain