suria

Rasuah Bola: FAM Tubuh Jawatankuasa Pemantauan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan di setiap 14 negeri seluruh negara dalam usaha membanteras gejala rasuah.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, jawatankuasa berkenaan akan diketuai oleh Pegawai Penguatkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) (D7).

"Pendirian kementerian dalam isu rasuah adalah jelas dan tegas di mana kita menentang dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba merosakkan masa depan sukan negara...tidak kira apa jenis sukan sekali pun," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin mengetahui mengenai pendirian kementerian ke atas gejala rasuah dalam bidang kesukanan terutama sekali sukan bola sepak.

Selain itu itu Razali berkata, FAM juga sebelum ini telahpun membentuk Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan yang dianggotai PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu Razali berkata, FAM sendiri mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pemain, pengadil atau pegawai yang terlibat dalam gejala rasuah sekiranya pihak berkenaan tidak disabitkan bersalah dalam undang-undang sedia ada.

"Sesiapa yang bersalah melakukan kesalahan mengatur perlawanan, jika didapati cukup bukti boleh didakwa di bawah undang-undang sedia ada selepas disiasat SPRM.

"Malah jika seseorang pemain, pengadil atau pegawai selepas disiasat oleh FAM atau FIFA tidak disabitkan di bawah mana-mana undang-undang negara...FAM sebagai badan yang mengawal selia pembangunan bola sepak boleh mengambil tindakan di bawah kod yang ada," katanya.

Artikel Lain