suria

Orang Ramai Jangan Salah Sangka Kes Culik Berleluasa - KPN

MELAKA: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta orang ramai tidak tersalah sangka seolah-olah kejadian culik berleluasa di negara ini sehingga keadaan tidak terkawal.

Katanya, laporan akhbar tentang satu dua kes yang berlaku kebelakangan ini telah disensasikan berikutan orang ramai yang suka membaca laporan itu.

Sehubungan dengan itu, tiada keperluan menubuhkan pasukan petugas khas untuk kes culik, kata beliau.

"Penting saya jelaskan, jangan anggap satu dua kes (yang dilaporkan) dah merosakkan, kita tak selamat, anak kita tak selamat, ini tidak betul," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas kebimbangan orang ramai berhubung kes culik - terbaru seorang pelajar, Siti Nur Fatihah Mahadi, 16, yang dilaporkan diculik di Kuantan, Pahang pada Ahad lepas.

Sebelum itu, pada 30 Januari lepas, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berasal dari Shah Alam dilaporkan diculik oleh sindiket pelacuran antarabangsa dan dilarikan ke Thailand.

Remaja itu bagaimanapun berjaya dibebaskan oleh polis Thailand dan dihantar balik ke sini dan sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pada 1 Mac lepas, seorang kanak-kanak, Nurul Nadhirah Abdullah, 5, ataupun dikenali sebagai Dirang yang sebelumnya dilaporkan hilang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, Johor Baharu pada 8 Mac.

Menurut Ismail, ketua-ketua polis negeri boleh menangani masalah itu termasuk laporan pasukan penyiasatan dari negeri berkenaan berhubung kes itu.

"Saya yakin kes di Johor dah diselesaikan dan yang terkini (di Pahang), tunggu satu, dua hari, ada berita baik untuk semua," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan secara terbuka berhubung dakwaan wujud elemen rasuah melibatkan anggota polis dalam aktiviti "bookie" bola sepak di Johor.

Beliau mengulas laporan media pada Selasa berhubung dakwaan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak negeri Johor (PBNJ) bahawa anggota polis terlibat dalam aktiviti menentukan perlawanan atau bookie bola sepak.

Baginda meminta polis Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu. - BERNAMA

Artikel Lain