suria

Perbicaraan Kes Saman Tengku Fakry Terhadap Malay Mail Ditetapkan 2 Mei Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 2 dan 3 Mei untuk perbicaraan kes saman fitnah berjumlah RM50 juta yang difailkan adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra terhadap akhbar Malay Mail dan tiga yang lain.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam A S Dhaliwal yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry dan peguam Mohd Zaharudeen Harun mewakili kesemua defendan.

Dhaliwal memberitahu pemberita, Tengku Muhammad Fakhry akan memberi keterangan sebagai saksi utama kes itu dan turut dipanggil ialah peguam Datuk Mohd Haziq Pillay dan pegawai peribadinya.

Pada 11 Nov lepas, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan writ saman menamakan akhbar Malay Mail Sdn Bhd sebagai defendan pertama, syarikat pencetak The New Straits Times Press (M) Bhd, Ketua Editor Yushaimi Maulud Yahya dan wartawan Marhalim Abbas sebagai defendan kedua hingga keempat.

Dalam pernyataan tuntutan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kesemua defendan bertanggungjawab menerbitkan satu artikel dalam Malay Mail Online News Portal pada 5 Mei, 2010, sehingga menjejaskan reputasi, jawatan dan kerjayanya.

Selain ganti rugi berjumlah RM50 juta, beliau menuntut akhbar terbabit menerbitkan permohonan maaf, suatu injunksi supaya pihak defendan tidak mengulangi artikel terbabit dan memohon ganti rugi teladan serta kos. - BERNAMA

Artikel Lain