suria

Kastam Sabah Rampas Rokok Seludup Bernilai RM100,000

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah merampas 5,300 bungkus rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 di Sinsuran, di sini Khamis.

Pengarah Kastam Sabah Dr Janathan Kandok berkata hasil risikan sepasukan pegawai kastam dari Bahagian Penguatkuasaan membuat serbuan di sebuah rumah tidak berpenghuni di Sinsuran pada pukul 10 pagi.

"Rokok yang disyaki belum lulus Kastam itu bernilai RM52,768 manakala jumlah cukai adalah RM47,972. Bagaimanapun nilai keseluruhannya mencecah lebih RM100,000 dalam pasaran semasa," katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati rokok terbabit tidak mempunyai setem cukai atau pun belum lulus Kastam.

Kandok berkata pihaknya turut mengenal pasti modus operandi pihak terbabit yang menggunakan kanak-kanak di bawah umur untuk menjual rokok-rokok berkenaan di sekitar kaki lima kawasan itu.

Beliau menasihatkan orang awam agar tidak terbabit dengan penjualan atau pembelian rokok tiruan dan belum lulus Kastam kerana mereka boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikan barang larangan.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang-barang itu dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang-barang itu atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya pihaknya juga akan meneruskan operasi mencegah penyeludupan rokok tiruan ke beberapa kawasan panas yang dikenal pasti seperti di Inanam, Menggatal dan Indah Permai.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan di negeri ini diminta menghubungi pejabat Kastam terdekat atau mengubungi talian bebas tol 1-800-88-8855. - BERNAMA

Artikel Lain