suria

Tiga Duta Terima Watikah Pelantikan Daripada Yang Di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Khamis menyerahkan watikah pelantikan kepada tiga Duta Besar Malaysia yang baru.

Mereka terdiri Datuk Othman Hashim, 58, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan bangsa Bersatu di Geneva, yang dilantik Duta Besar ke Amerika Syarikat, Abdullah Faiz Mohd Zain, 57, Timbalan Ketua Protokol di Kementerian Luar yang dilantik Duta Besar ke Yemen, dan Ismail Salam, 45, Menteri Penasihat merangkap Ketua Canseri di Kedutaan Malaysia di Vienna, Austria, yang dilantik sebagai Duta Besar ke Kenya.

Othman, menggantikan Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda menerima watikah pelantikan 13 perwakilan asing ke Malaysia.

Empat daripada mereka adalah Pesuruhjaya Tinggi terdiri Meli Bainimarama dari Fiji, Premdut Doongoor dari Mauritius, Bello Shehu Ringim dari Nigeria dan Kalyananda Godage dari Sri Lanka.

Sembilan yang lain merupakan Duta Besar terdiri Gerardo Prato dari Uruguay, Jose Eduardo E Malaya III dari Filipina, Jose Antonio Amorim Dias dari Timor Leste, Ruben Perez Valdez dari Cuba, Christian Rehren Barguetto dari Chile, Rodrigo Querubin Londono dari Colombia, Khamphan Anlavan dari Laos, Martine Dorance dari Perancis dan Fahad Abdullah Hamad Al Rashid dari Saudi Arabia.

Turut hadir pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara di sini ialah Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman. - BERNAMA

Artikel Lain