suria

Najib Umum Peruntukan RM150 Juta Naik Taraf Lebuh Raya Pasir Gudang

JOHOR BARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM150 juta bagi menaiktaraf lebuh raya Pasir Gudang, di sini.

Najib yang mengumumkan berita gembira itu pada majlis perjumpaan bersama penduduk setempat di Taman Setia Indah, di sini, berkata projek berkenaan akan menjadikan lebuh raya empat lorong itu ketika ini kepada enam lorong.

"Projek naik taraf empat lorong kepada enam lorong itu dimulakan menerusi fasa satu yang melibatkan laluan dari persimpangan Kangkar Tebrau ke persimpangan Plentong sejauh lapan kilometer," katanya semasa berucap pada majlis itu.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Puteri Wangsa Datuk Abdul Halim Sulaiman dan Adun kawasan Tebrau Datuk Maulizan Bujang.

Perdana Menteri berkata projek naik taraf lebuh raya yang sesak itu membuktikan kerajaan sentiasa mendengar apa yang dihasratkan oleh penduduk dan masyarakat sekitar.

Terdahulu, sejurus tiba di kawasan perumahan itu, Perdana Menteri memulakan program tinjauan mesranya dengan berbasikal bersama belia pelbagai kaum di kawasan rekreasi perumahan tersebut.

Selepas itu, dengan berjalan kaki, beliau kemudian dibawa melawat kawasan perniagaan, medan selera dan pasar awam Taman Setia Indah untuk beramah mesra dengan orang ramai sebelum berucap pada majlis perjumpaan dengan penduduk setempat.

Pada majlsi itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM2.735 juta bagi menyiapkan 316 unit projek perumahan rakyat Taman Setia Indah yang terbengkalai sejak tahun 2008.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pembinaan masjid Taman Puteri Wangsa dan RM2 juta bagi pembinaan bangunan tambahan empat tingkat untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew, Taman Mount Austin, di sini.

Beliau turut menyampaikan Notis 5A, surat hak milik tanah, kepada 297 orang penduduk Kampung Baru Ban Foo, Kampung Sungai Penderam dan Kampung Pasir Putih yang kesemuanya di bawah Parlimen Tebrau.- BERNAMA

Artikel Lain