suria

Warung Makanan, Kedai Nelayan Hanyut Dalam Kejadian Tebing Runtuh

PELABUHAN KLANG: Tiga warung makan, empat stor dan sebuah kedai nelayan berhampiran Jeti Kampung Nelayan Telok Gong di sini dihanyutkan air deras dalam satu kejadian tebing runtuh petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, warung makan serta kedai nelayan lenyap satu persatu apabila tebing yang menempatkan tiang tapak premis berkenaan terhakis sebelum runtuh ke dalam muara Sungai Klang.

Turut tenggelam ialah sembilan bot nelayan. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira 2.16 petang dan tiba di lokasi 11 minit kemudian.

Beliau berkata tujuh jentera dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dengan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mereka dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.

"Anggaran sebenar nilai kerugian masih belum dipastikan, namun dari segi penelitian awal, ia mungkin melebihi RM100,000.

"Buat masa ini, kita telah tutup kawasan lokasi kejadian atas sebab-sebab keselamatan, dan pada masa yang sama, kita juga akan lakukan pemantauan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Sementara itu, pemilik kedai nelayan, Shaharudin Abdul Rahman, 43, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh rakannya sebelum bergegas ke lokasi berkenaan.

"Setibanya saya di situ, saya lihat satu persatu kedai nelayan, stor serta warung runtuh ke dalam air.

"Saya tidak boleh berbuat apa-apa... hanya sekadar melihat sahaja kesemuanya dihanyutkan arus deras," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. - BERNAMA



Artikel Lain