suria

Ahmad Zahid Janji Bantu 80,000 Bekas Tentera Tidak Berpencen

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan membawa isu berkaitan nasib kira-kira 80,000 bekas tentera yang tidak berpencen kepada kerajaan bagi diberi bantuan.

"Kita bawa perkara ini untuk kita bincangkan apa bentuk bantuan yang boleh diberi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persatuan Bekas Warga Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Di Raja di Kem Sungai Besi, di sini Sabtu.

Zahid berkata mereka tidak mendapat wang pencen kerana tempoh perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kurang daripada 21 tahun.

Katanya bekas tentera yang tidak menganggotai persatuan bekas tentera juga akan dibantu bagi membolehkan mereka menerima imbuhan, memandangkan terdapat peruntukan RM50 juta yang disalur kepada Perbadanan hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di bawah Bajet 2012.

Peruntukan tersebut akan digunakan untuk program-program kerjaya kedua dan juga latihan usahawan kepada bekas tentera, katanya.

Mengenai permintaan bekas tentera agar peruntukan kewangan itu disalurkan mengikut koperasi rejimen atau batalion, beliau berkata perkara tersebut sedang diteliti kerajaan.

Mengulas isu berbeza, Zahid melahirkan rasa kesal kerana pembangkang menjadikan projek penggantian kenderaan pacuan empat roda (4x4) milik ATM sebagai "mangsa" terbaru fitnah politik mereka.

"Saya telah menyatakan beberapa kali kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal spesifikasi tetapi tentang aset-aset yang dibeli oleh ketiga-tiga perkhidmatan ATM ianya tidak harus dipertikaikan termasuk mempertikaikan kemampuan aset-aset berkenaan," katanya.

Katanya perolehan kenderaan 4x4 baru itu keluaran syarikat Malaysia, Weststar Group yang mempunyai kilang di Thailand dan China, adalah lebih murah dan kos efektif berbanding Land Rover Defender yang merupakan produk British.

Katanya pasukan tentera Amerika Syarikat telah membeli 10,000 unit kenderaan tentera dari Weststar, dan pasukan tentera dari negara lain seperti Thailand, Singapura dan Indonesia juga telah membuat tempahan dengan syarikat tersebut.

"Yang belum beli ialah ATM, adalah munasabah ATM menggantikan kenderaan sedia ada kerana kos pembaikian dan alat ganti mencecah harga tiga kali ganda mahal dari kenderaan Westar," katanya lagi. - BERNAMA

Artikel Lain