suria

Tiga Sekeluarga Maut Dalam Nahas Di Lebuhraya Pantai Timur

KUANTAN: Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi anggota keluarga itu cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dikatakan merempuh belakang sebuah treler di Km 210.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang awal pagi Jumaat.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Norazman Ibrahim, 43, iaitu seorang eksekutif Proton di Shah Alam, isterinya Norhayati Ibrahim, 42, dan anak lelaki mereka Akif Iskandar, 17.

Anak perempuan mereka Nur Rudiana, 12, dilaporkan cedera dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata kejadian berlaku pada 1.30 pagi ketika keluarga berkenaan yang menetap di Taman Puchong Perdana, Selangor dalam perjalanan dari Shah Alam menuju Temasik, Terengganu untuk menghadiri majlis kenduri kahwin.

Beliau berkata Norazman yang memandu kereta itu merempuh treler yang membawa muatan bijeh besi.

"Akibat rempuhan itu, pemandunya mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan badan, isterinya meninggal di Klinik Kesihatan Gambang kira-kira 3.30 pagi akibat kecederaan dalaman," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata anak lelaki mangsa pula disahkan meninggal pada 4.18 pagi ketika menerima rawatan di HTAA akibat parah di kepala.

Pemandu treler berumur 46 itu tidak mengalami kecederaan.

Kakak kepada Norazman, Noordinal Ibrahim, 49, berkata dia dimaklumkan tentang kejadian itu oleh rakan kepada adiknya kira-kira 2.30 pagi melalui telefon.

Katanya secara kebetulan rakan adiknya itu dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur telah terserempak dengan kemalangan terbabit dan mengecam nombor plat kereta mangsa.

"Saya terkejut apabila diberitahu tentang kejadian ini dan segera memberitahu suami sebelum bergegas ke sini.

"Arwah sepatutnya bertolak hari ini ke Terengganu. Dia juga tidak maklumkan kepada saya untuk bertolak awal," katanya di HTAA. Tiga beranak itu akan dikebumikan di kampung Norhayati di Kuala Berang, Terengganu. - BERNAMA

Artikel Lain