suria

Penyamun Stesen Minyak & Hotel Bajet Di Subang Jaya-Shah Alam Akhirnya Ditumpaskan

PETALING JAYA: Polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun stesen minyak dan hotel bajet di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam menerusi penahanan enam lelaki pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Subang jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, mereka yang berusia antara 17 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Subang Mewah, dua hari selepas kes samun terbaru di stesen minyak di USJ 9/3 Jalan Bakti.

Kesemua suspek adalah warga tempatan dan didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta tiada pekerjaan tetap, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Mengulas kejayaan itu, Yahaya berkata polis mengesan kumpulan terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak yang disamun pada Rabu lepas.

Hasil rakaman itu, polis mengenal pasti kejadian dilakukan dua daripada suspek yang mana modus operandinya sama iaitu menggunakan parang, katanya.

Mengulas kejadian 9.50 malam itu, Yahaya berkata, seorang daripada mereka yang memakai topi keledar meluru masuk ke dalam stesen minyak terbabit dengan bersenjatakan parang dan menerpa ke arah kaunter, manakala seorang lagi menunggu di atas motosikal.

Suspek kemudian meminta dua pekerja yang ada di situ menyerahkan wang serta beberapa kotak rokok, sebelum menyamun seorang pelanggan yang baru mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik di stesen minyak itu.

"Nilai anggaran kerugian kira-kira RM4,000 termasuk RM500 wang tunai milik seorang pelanggan, RM2,000 wang tunai stesen minyak, telefon bimbit dan beberapa kotak rokok," katanya.

Susulan kejadian itu, polis bertindak memburu suspek dan hasil siasatan mendapati kumpulan tersebut dianggotai enam orang yang aktif menyamun stesen minyak serta hotel bajet di dua daerah berkenaan sejak hujung tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain