suria

Mandala Airlines Dibenar Terbang Semula

MELBOURNE: Syarikat penerbangan Indonesia, PT Mandala Airlines telah dibenarkan untuk mengadakan penerbangan semula selepas digantung perkhidmatannya selama setahun kerana dibebani hutang yang banyak, kata pemegang saham kedua terbesarnya, Tiger Airways.

"Tiger Airways Holdings Ltd gembira mengumumkan bahawa Sijil Pengendali Udara PT Mandala Airlines telah diaktifkan semula oleh Direktorat Jenderal Perhubungan Udara Indonesia," kata syarikat penerbangan tambang murah Singapura itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ia juga berkata, maklumat mengenai bilangan pesawat, laluan permulaan dan destinasi bagi Mandala akan diumumkan tidak lama lagi. Penyambungan semula penerbangan itu dijadualkan pada April ini. Kebenaran bagi Mandala Airlines untuk mengadakan semula penerbangan adalah kemuncak kepada langkah-langkah penyusunan semula selama setahun selepas syarikat penerbangan itu diberhentikan perkhidmatannya pada Januari tahun lepas disebabkan oleh hutangnya yang besar.

Ekoran penyusunan semula itu, syarikat pelaburan Indonesia, Saratoga Group memegang kepentingan majoriti 51.3 peratus, manakala Tiger Airways memiliki 33 peratus melalui anak syarikat milik penuhnya, Roar Aviation Pte Ltd.

Baki kepentingan sebanyak 15.7 peratus lagi akan dipegang oleh pemilik saham dan kreditor Mandala sebelumnya.

Mandala Airlines - milik angkatan tentera Indonesia hingga 2006 apabila pelabur swasta mengambil alih - akan mencontohi model penerbangan tambang murah Tiger Airways dan menggunakan pesawat Airbus A320 dalam perkhidmatannya.

Ia menyasarkan penerbangan dalam Indonesia dan ke destinasi-destinasi antarabangsa dalam radius penerbangan lima jam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain