suria

Beri Peluang Bukan Bumiputera Kontrak Pungutan Sampah - MCA

PETALING JAYA: Biro Pengaduan Awam MCA Selangor menyeru kerajaan negeri itu agar turut memberi peluang kepada kontraktor bukan bumiputera untuk sama-sama terlibat dalam kontrak memungut sampah dan pengurusan kebersihan di kawasan tadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Ketua bironya, Datuk Theng Book berkata beliau difahamkan pada 1 Februari lepas, pihak MPSJ telah memberi kontrak kepada 154 kontraktor kebersihan yang kesemuanya terdiri daripada kontraktor Bumiputera.

"Saya kesal terhadap sikap ahli exco Kerajaan Negeri, terutamanya wakil DAP yang 'cakap tak serupa bikin'. DAP sentiasa tegaskan yang mereka bersikap adil kepada semua tidak kira bangsa dan agama, tetapi dalam isu pemberian tender sampah, mereka hanya mengutamakan satu kaum sahaja.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan isu sampah dan kes denggi di Selangor, di sini, Jumaat. Dalam sebuah portal berita berbahasa Mandarin bertarikh 9 Februari melaporkan seramai 154 kontraktor kutipan sampah yang terdiri daripada golongan bumiputera, diberi kontrak oleh MPSJ untuk mengutip sampah dan menguruskan masalah kebersihan di kawasan Subang Jaya.

Theng mendakwa semasa kerajaan negeri ditadbir Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, Selangor tidak pernah meminggirkan golongan bukan bumiputera dalam isu pemberian kontrak ini dan sentiasa memastikan kebersihan setempat terjamin.

"Oleh itu, saya menyeru Teresa Kok (Exco Kanan negeri Selangor) supaya menjawab persoalan yang kami lontarkan, di mana janji mereka yang dikatakan mengamalkan sikap sama rata terhadap semua kaum," katanya.

Berkenaan isu denggi di Selangor, Theng berkata keadaan kebersihan di Selangor amat berkait rapat dengan kes demam denggi yang semakin meningkat di negeri itu. "Berdasarkan rekod terbaru yang kami terima setakat minggu kelima 2012 daripada Kementerian Kesihatan, Selangor mencatat jumlah kes tertinggi iaitu sejumlah 7,758 kes yang membabitkan 14 kematian," katanya.

Beliau berkata apabila isu sampah sarap tidak dapat diselesaikan dengan sempurna oleh kerajaan negeri, maka nyamuk Aedes akan membiak dengan cepat dan menyebabkan kes demam denggi semakin meningkat di Selangor. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Terbunuh Dirempuh Kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain