suria

Mesin Pengimbas Sistem Gelombang Untuk Banteras Penyeludupan Dadah Di KLIA

BANGI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menempatkan empat mesin pengimbas yang menggunakan sistem gelombang dan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan dadah ke negara ini.

Pengarah Bahagian Perancangan Korporat Kastam Datuk Chik Omar Chik Lim berkata mesin pengimbas "ThruVision" bernilai RM4 juta dari United Kingdom itu akan ditempatkan di laluan penumpang di terminal utama KLIA.

Mesin pengimbas itu kini dalam proses diuji dan jika terbukti berkesan akan turut ditempatkan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan kemudiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching, katanya pada sidang akhbar mengenai prestasi pungutan hasil JKDM di sini, Sabtu.

Katanya pada tahun lepas, kes dadah telah menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 92 kes dengan nilai rampasan RM183.78 juta berbanding 74 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM44.45 juta pada tahun sebelumnya.

Chik Omar berkata JKDM akan melaksanakan penggunaan hanya satu laluan khas bagi pemeriksaan penumpang di KLIA yang dijangka bermula Mac ini dan menurutnya langkah itu telah mendapat kelulusan Ketua Setiausaha Negara.

"Sekarang, di KLIA terdapat banyak pintu keluar dan ini telah menyukarkan pegawai penguatkuasaan JKDM untuk membuat pemeriksaan ke atas kesemua penumpang.

Dengan penjajaran ini, penumpang akan keluar dengan satu pintu sebelum melalui pemeriksaan. Ini dapat mengurangkan risiko penyeludupan," katanya.

Sebelum itu, Chik Omar dan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Lamien Sawiyo melawat pusat peperiksaan bagi pengambilan calon penguasa Kastam Gred WK1-1 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini.

Chik Omar berkata 28,741 calon menduduki peperiksaan di 137 pusat peperiksaan di seluruh negara pada hari ini bagi mengisi 361 kekosongan dan keputusan peperiksaan itu dijangka diumum pada 12 Mac.

Mengenai unjuran pungutan hasil JKDM kepada RM31.057 bilion pada tahun ini berbanding RM30.379 bilion pada tahun lepas, katanya unjuran itu dijangka dapat dicapai melalui pelbagai langkah yang diambil jabatan itu.

Antara langkah itu ialah menjalin hubungan bestari dengan peniaga dan pengimport selain mengambil tindakan komprehensif terhadap syarikat berisiko tinggi melalui auditan pasca import dan auditan syarikat dan kilang, katanya.

Beliau berkata sepanjang Januari lepas, sebanyak RM2.883 bilion hasil berjaya dipungut. - BERNAMA

Artikel Lain